MENJELANG pilihan raya umum yang akan datang, kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM1 bilion untuk masyarakat India dalam Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India di Malaysia.
Perdana Menteri Najib Razak berkata RM500 juta akan diperuntukkan di bawah skim unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad untuk masyarakat India di bawah kategori B40.
Kategori B40 merujuk kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,855 dan ke bawah.
Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan dana pusingan kepada usahawan India daripada RM150 juta kepada RM500 juta.
Pelan Induk India Malaysia juga merancang untuk meningkatkan pengambilan kaum India di universiti awam, politeknik dan kolej kerajaan kepada 7%.
Katanya, penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awal juga akan dinaikkan kepada 7% menjelang 2026.
Najib berkata bagi pelajar India yang menghadapi kesukaran melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi, sejumlah RM40 juta akan diperuntukkan untuk mereka dalam tempoh empat tahun akan datang.
Beliau juga berjanji untuk menubuhkan sistem kelulusan khas dalam Kementerian Dalam Negeri untuk kaum India yang tinggal di Malaysia sebelum 1957 untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan masing-masing.
“Ada yang kata ini hanya gimik pilihan raya. Tetapi kita semua tahu pelan induk ini diumumkan pada 2015 dan kita akan jamin pelaksanaan dan memantaunya ke arah memastikan ia sampai kepada sasaran dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-14 perlu diadakan paling lewat pertengahan 2018 walaupun sejak akhir-akhir ini kedua-dua kerajaan dan gabungan pembangkang semakin giat menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.
Menyentuh mengenai bantuan kepada masyarakat India untuk mendapatkan kerakyatan bagi yang tinggal di Malaysia sejak 1957, Najib berkata kerajaan akan melancarkan kempen di seluruh negara bagi membantu proses kerakyatan.
Najib berkata Program Unit Khas untuk Pembangunan Sosioekonomi bagi Masyarakat India (SEDIC) akan distrukturkan semula bagi memperbaiki sosioekonomi kaum India.
“Status sosioekonomi masyarakat India menyebabkan peningkatan aktiviti jenayah dalam kalangan kaum itu terutama golongan belianya.
“Pelan induk ini akan tertumpu pada empat faktor utama iaitu memenuhi keperluan asas masyarakat itu, mengenal pasti potensi setiap kanak-kanak, membaiki kehidupan dan kekayaan serta meningkatkan penyertaan sosial,” katanya.
Beliau berkata pelan induk itu akan mempunyai sistem pelaksanaan khas bagi memastikan petunjuk prestasi utama pelan itu tercapai.
“Kita juga akan ada Sistem Pengurusan Geran bersepadu ke dalam mekanisme itu bagi menguruskan permohonan, kelulusan dan pemantauan semua dana diagihkan menerusi organisasi bukan kerajaan,” katanya.
Pelan induk 10 tahun itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada penghujung 2027 dan bermatlamat untuk memenuhi keperluan asas, memperbaiki pendidikan, meningkatkan pengambilan pekerja dan keusahawanan serta meningkatkan penyertaan sosial bagi masyarakat India di Malaysia. – 23 April, 2017.
Komen