HINDRAF 2.0 akan terus menekan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengotakan janji manifestonya berhubung kaum India, yang didakwa boleh diselesaikan hanya dengan satu lorekan pen.
Ketuanya, P. Uthayakumar berkata mereka mahu PH menamatkan isu perkauman dan menunaikan 25 perkara dalam manifesto PH berkaitan masyarakat India.
“Dengan sebatang pen, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin PH boleh selesaikan semua masalah India.
“Ia kini menjadi persoalan sama ada mereka mahu melakukannya atau meneruskan dasar perkauman Umno,” kata peguam itu selepas perhimpunan di Brickfields hari ini.
Kira-kira 80 orang hadir dalam perhimpunan tersebut, yang bermula pada 2.15 tengahari dan berakhir dengan kira-kira pukul 3.30 petang akibat hujan lebat.
Perhimpunan itu diadakan untuk memperingati perhimpunan mega pertama Hindraf pada 25 November 2007 bagi membantah dasar diskriminasi kerajaan terhadap komuniti India.
Pergerakan itu terbahagi kepada pelbagai kumpulan, dengan Uthayakumar mengetuai Hindraf 2.0 dan adiknya, P Waytha Moorthy mengetuai kumpulan lain.
Bagaimanapun, Waytha kini menjadi menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan.
Uthayakumar berkata di antara janji-janji PH yang gagal ditunaikan berkaitan masyarakat India termasuk menyampaikan kad pengenalan dan sijil kelahiran dalam tempoh 100 hari untuk kaum India yang tidak memiliki kerakyatan, bantuan penuh untuk 526 sekolah Tamil, tanah untuk kaum India dan lesen gerai, pusat cuci kerta dan peniaga logam.
Uthayakumar berkata Dr Mahathir telah melupakan kedaulatan undang-undang.
“Ketetapan undang-undang sangat jelas, contohnya jika seseorang ibu bapa adalah warganegara Malaysia maka secara automatik anak-anak mereka adalah warganegara, tetapi ini tidak berlaku.
“PH berkata isu IC dan BC akan diselesaikan dalam masa 100 hari. Beliau (Dr Mahathir) bercakap mengenai kedaulatan undang-undang, tetapi dia tidak mematuhi undang-undang.” – Bernama, 24 November, 2019.
Komen