TINDAKAN perlu dikenakan ke atas pemimpin yang mempunyai masalah disiplin serta serta sering bertindak keterlaluan, kata Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Tegasnya, Lembaga Disiplin PKR bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas pemimpin berkenaan yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan.
“Memang kita parti yang reformis, yang demokrasi. Cuma kalau ada kenyataan yang keterlaluan, ini menjadi tanggungjawab Lembaga Displin untuk membuat keputusan atau teliti perkara tersebut.
“(Pemimpin politik) tahu apa yang perlu dibahaskan, dibangkitkan di khalayak umum. Tapi kalau luar batasan, anda perlu bersiap sedia untuk diambil tindakan oleh Lembaga Displin,” katanya.
Akmal bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin parti yang perlu dikenakan tindakan.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengulas nasihat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar pemimpin parti tidak bergaduh secara terbuka walau berbeza pendapat.
Akmal menyambut saranan itu dan menambah pemimpin AMK juga perlu menyelesaikannya dalam saluran parti apabila timbul perbezaan pandangan.
“Kita cuma berbeza pandangan, cuma dari segi perbincangan kami, sebab itu pandangan kami semua kita nak selesaikan tanggungjawab sebagai AMK.”
“Kalau betul kita (pemimpin politik) sama-sama nak muafakat, kita sepatutnya letak segala pandangan itu dan juga mengangkat nama parti dahulu.
“Jadi kalau kita sama-sama hendak pertahankan parti, hendak pertahankan PH, kita harus berjiwa besar dan hormati proses struktur operasi parti,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Majlis Pimpinan Pusat AMK sebelum kongres nasionalnya berlangsung pada 6 Disember.
Pergerakan itu kini bergeser apabila kem yang dipimpin timbalannya, Hilman Idham berkeras agar kongres sayap itu dirasmikan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Pergeseran itu berlarutan sejak sejak pemilihan parti tahun lalu yang menyaksikan parti terbelah antara mempertahankan Azmin atau mengangkat Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden parti.
Seramai 21 daripada 25 pimpinan AMK tersebut membantah tindakan meminggirkan Azmin daripada upacara perasmian tersebut. – 24 November, 2019.
Komen