PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menyindir pemimpin dalam parti itu yang menurutnya menyalahguna kuasa selepas memperolehi jawatan dalam kerajaan.
Tidak menamakan sesiapa, Anwar menyebut pemimpin dimaksudkannya itu bukan saja mengamalkan pemberian projek untuk dapat sokongan malah turut berunding dengan parti lawan.
“Kita kena hentikan amalan (beri projek) ini. Ini salah guna kuasa. Bukan takat lupa tapi runding projek dengan musuh.
“Sokong dapat projek, tak sokong tak dapat projek,” katanya dalam semasa menyampaikan ucaptama di Konvesyen Reformis V2.0 di Shah Alam hari ini.
Sindiran itu timbul ekoran pertemuan ahli Parlimen parti itu minggu ini bersama 16 ahli parlimen Umno anjuran Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Putrajaya.
Ahli Parlimen Umno dalam satu kenyataan menjelaskan, pertemuan itu antara lain membincangkan penyaluran projek kerajaan untuk pembangunan setempat di kawasan masing-masing.
Pertemuan itu meraih kontroversi kerana diadakan selepas parti kerajaan dimalukan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai dengan keputusan paling buruk – tewas dengan majoriti lebih 15,000 undi.
Ia menimbulkan spekulasi bahawa Azmin mengadakan komplot untuk menyekat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad daripada menyegerakan peralihan kuasa ekoran keputusan buruk itu.
Ini memandangkan Azmin secara terbuka menentang peralihan kuasa kepada Anwar melalui kenyataan terdahulu agar Dr Mahathir berkhidmat sehingga akhir penggal.
Azmin bagaimanapun menjelaskan mersyuarat itu hanya pertemuan biasa dan menolak cakap-cakap bahawa ia bagi memastikan Dr Mahathir kekal menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Anwar menyatakan rasa kecewa pada segelintir pemimpin yang lupa dengan semangat reformasi yang menjadi teras kepada parti itu.
“Bukan ada parti lain lupa reformasi, kawan PKR juga lupa. Nak sebut perkataan reformasi pun takut,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Konvensyen yang menghimpun ratusan penyokong itu antara lain membincangkan beberapa tuntutan pembaharuan termasuk peranan agenda reformasi dan isu alam sekitar. – 24 November, 2019.
Komen