Pakatan cadang belanjawan alternatif, hapuskan GST


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan juga mencadangkan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 serta menyediakan pendidikan percuma di universiti awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2017.

Pakatan Harapan (PH) mencadangkan belanjawan alternatif 2018 yang menyediakan peruntukan lebih tinggi untuk pembangunan serta defisit lebih kecil berbanding Bajet 2017 yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN). 

Lebih kurang 23% daripada peruntukan belanjawan PH itu disediakan untuk pembangunan manakala 77% digunakan untuk kos pentadbiran. Sebagai perbandingan, BN memperuntukkan 20% untuk pembangunan dan 80% untuk kos operasi.

Bajet PH berjumlah RM258.52 bilion ini menetapkan sasaran defisit 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah berbanding 3% yang ditetapkan oleh BN dalam Bajet 2017 yang berjumlah RM260.8.

Dalam cadangan bajet alternatif itu, PH bercadang menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menamatkan tol lebuh raya dan menjimatkan sehingga RM20 bilion dengan mengurangkan ketirisan dan menghapuskan penyelewengan.

Ia juga mencadangkan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 serta menyediakan pendidikan percuma di universiti awam.

Kira-kira 23% daripada bajet yang dicadangkan diperuntukkan untuk pembangunan sementara 77% bagi kos operasi. Jika dibandingkan, BN mengetepikan 20% untuk pembangunan dan 80% perbelanjaan operasi.

Bajet yang dicadangkan PH meramalkan defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2%, lebih rendah berbanding 3% dalam bajet BN untuk 2017.

Bagi pendapatan, PH menjangkakan mengutip cukai yang kurang daripada individu, tetapi lebih kepada syarikat pada 2018. PH akan mengutip RM32.79 bilion sementara BN menjangkakan RM35.88 bilion dalam cukai pendapatan persendirian.

Bagaimanapun, PH menganggarkan ia akan mengutip RM85.96 bilion cukai daripada syarikat, berbanding BN – RM83.15 bilion.

Dokumen bajet PH menyatakan kutipan lebih tinggi dalam cukai korporat dijangka menjadi salah satu daripada kesan lonjakan penggunaan selepas GST dihapuskan.

“Kami akan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memudahkan rakyat, maka kesannya ialah perolehan daripada cukai pendapatan lebih rendah RM3.09 bilion,” menurut dokumen itu.

“Kami sedar sekarang waktu ekonomi yang sukar, tentunya tidak berhati perut jika mahu memerah lebih banyak lagi wang daripada pembayar cukai individu.”

PH juga menjangkakan pendapatan daripada levi pekerja asing juga berkurangan susulan rancangannya untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Pada sidang akhbar itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, yang mengetuai jawatankuasa merangka bajet PH berkata cadangan dalam bajet itu akan membentuk teras manifesto ekonomi gabungan itu bagi pilihan raya umum ke-14.

Cadangan lain dalam bajet alternatif itu termasuk:

* Menjadikan bayaran di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bersyarat untuk sesuatu yang positif dan memastikan duit itu tidak dibelanjakan untuk perkara tidak berfaedah.

* Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) hanya perlu membayar balik pinjaman selepas mendapat gaji bulanan RM4,000.

* Memotong bajet untuk Jabatan Perdana Menteri daripada RM20 bilion kepada RM8 bilion.

* Mengembalikan subsidi minyak untuk kereta dan motosikal di bawah 1,000cc.

* Memberikan 20% royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

* Insentif untuk perniagaan kecil dan sederhana yang mahu membangunkan teknologi sebagai sebahagian revolusi industri keempat, seperti robotik dan kepintaran artifisial.

* Menjadikan diskriminasi terhadap wanita berkahwin atau mengandung yang memohon pekerjaan, sebagai satu kesalahan. Cuti bersalin ditambah kepada 120 hari berbanding 90 hari sekarang.

* Meluluskan undang-undang untuk gaji sama adil bagi lelaki dan perempuan.

* Memperkenalkan program kontrak kerajaan dua tingkat untuk usahawan Bumiputera bagi menggalakkan persaingan dan mengelak peluang hanya untuk segelintir saja.

Dengan semua kenaikan itu, PH menjangkakan ia akan mengurangkan kekurangan pendapatan hasil GST daripada RM25.50 bilion kepada RM14 bilion.

PH berkata jika ia berjaya menjadi kerajaan, ia dapat menjimatkan RM20 bilion kos operasi dengan mengurangkan ketirisan dan rasuah.

Daripada pengiraannya, kira-kira RM160 bilion yang dibelanjakan dalam bajet kerajaan setiap tahun terdedah kepada pembaziran dan salah guna, kata Wong.

“Berdasarkan kepada laporan tahunan ketua audit negara, jumlah pembaziran dan salah pengurusan berjumlah antara 10% hingga 15% atau purata RM20 bilion.

“Dengan pelaksanaan ini, kami bukan saja dapat menampung keseluruhan kekurangan perolehan daripada pemansuhan GST, kami juga sebenarnya dalam merekodkan lebihan RM6 bilion,” katanya. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen