ADA wakil rakyat bekas Umno yang mahu kembali kerana kesal dan disisihkan rakyat, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah presiden Umno itu lagi, parti terbuka menerima kembali mereka tetapi ada syarat dan prosesnya.
“Ada kalangan mereka menyesal, ini Noh Omar pun tahu mereka mahu masuk kembali.
“Saya kata dalam Islam dalam hukum pernikahan talak ada tiga talak. Pertama dan kedua boleh rujuk, tapi, ketiga itu tidak boleh rujuk kecuali ada prosesnya.
“Tapi Umno terbuka kalau agak menyesal berada sana (jadi wakil rakyat Bebas atau Pakatan Harapan) dan tak dipeduli,” katanya pada ceramah Mega Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor, di Shah Alam, malam tadi.
Jelasnya, menyedihkan apabila bekas wakil rakyat yang keluar Umno tidak mendapat apa yang diinginkan daripada PH, malah mereka juga disisihkan pengundi.
“Bila balik kawasan hatta balik ke negeri, kawasan Parlimen tidak ada orang peduli, bila nak bersalam lepas sembayang Jumaat tidak ada orang nak bersalam seolah mereka ini (bekas ahli) ada najis mughallazah (najis berat).
“Najis ini dalam Islam adalah paling berat dan kotor antara kesemuanya. Ini saya terpaksa jelaskan,” katanya.
Selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, ramai wakil rakyat Umno mengumumkan keluar parti.
Setakat Disember 2018, enam ahli Parlimen Umno mengumumkan keluar parti.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Selain itu, dua nama besar yang keluar Umno ialah Mustapa Mohamed dan bekas ketua Puteri Mas Ermieyanti Samsudin.
Mustapa keluar pada September sebelum menyertai Bersatu, manakala Mas keluar pada Julai 2018 dan diterima masuk Bersatu pada 13 Disember 2018. – 24 November, 2019.
Komen