Peminjam PTPTN anggap Pakatan bohong kerana batal diskaun


Mastura Malak

Keistimewaan yang diperkenal kerajaan BN yang memberikan diskaun 20% kepada peminjam PTPTN kini tidak lagi diteruskan menyebabkan rata-rata mereka tidak berpuas hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2019.  

PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak berpuas hati kerana tidak lagi ditawarkan faedah dan alternatif untuk menyelesaikan bayaran.

Menurut peminjam ini, kerajaan sekurang-kurangnya perlu meneruskan diskaun 20% kepada peminjam yang mahu melangsaikan keseluruhan pinjaman.

Namun keistimewaan yang diperkenal kerajaan BN itu kini tidak lagi diteruskan PH, malah isu PTPTN diabaikan sepenuhnya dalam Belanjawan 2020.

Seorang jurutera, Shahfizul Suradi berkata ini menunjukkan kerajaan PH tidak memenuhi janji dalam manifesto pilihan rayanya.

“Saya sudah langsaikan hutang guna akaun dua KWSP. Itu adalah duit masa tua saya, saya gunakan untuk selesaikan hutang.

“Tetapi malangnya tiada diskaun 20 peratus sepertimana kerajaan BN umum dalam bajet sebelum ini.

“Inikah kerajaan yang (prihatin kepada) rakyat? Manifesto ke mana, apa pun tak tunai,” kata Shahfizul Suradi, 30.

Begitu juga dengan Shahira Othman, 29, yang melihat PH berdusta kerana tidak meneruskan diskaun 20% itu.

“Pada tahun lalu, diskaun masih ada tetapi  pada ketika itu duit simpanan saya masih belum mencukupi untuk bayar secara penuh.

“Terbaru, apabila saya datang semula ke pejabat PTPTN untuk membayar pinjaman secara penuh, tiada diskaun langsung diberikan. Ini sebab saya rasa agak kecewa dengan janji palsu PH.

“Sekarang, lihatlah apa jadi. Janji hanya tinggal janji,” kata Shahira kepada The Malaysian Insight.

Sewaktu kempen PRU14, PH menawarkan untuk memansuhkan larangan perjalanan luar negara bagi peminjam ingkar dan menangguhkan bayaran bagi graduan berpendapatan bawah RM4,000.

Pada tahun lalu, kerajaan mengumumkan skim bayaran mengikut pendapatan, namun tidak diteruskan ekoran pelbagai kritikan.

PTPTN kini hanya menawarkan penangguhan tidak melebihi 24 bulan untuk peminjam yang tidak mendapat pekerjaan, dan juga penangguhan untuk peminjam yang masih belajar.

Mengulas perkara itu, seorang lagi peminjam, Azrie Faiz terkilan dan kecewa kerana kerajaan tidak umumkan dana untuk PTPTN dalam belanjawan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya rasa agak terkilan kerana semasa pembentangan  bajet 2020, tiada langsung isu PTPTN dibangkitkan. Sekarang janji hanya tinggal janji, satu habuk pun tidak disentuh.

“Sekurang-kurangnya faedah diskaun kepada peminjam (dikekalkan), kata Azraie, 31.

PTPTN pula ketika diminta menjelaskan duduk perkara sebenar berkata keputusan untuk tidak memberi diskaun bagi melangsaikan pinjaman sudahpun muktamad.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid menjelaskan ia tidak dapat diteruskan kerana bergantung kepada peruntukan kerajaan.

“Tawaran itu telah berakhir pada 31 Disember 2018, maka bermula tahun 2019, memang tiada potongan tawaran diberikan oleh mana-mana peminjam.

“Manakala untuk tahun 2020 pula, kerajaan memang tidak mengumumkam apa-apa peruntukan kepada peminjam dengan memberi sebarang diskaun.

“Sebab ia bergantung kepada peruntukan kerajaan. Buat masa ini kerajaan fokus untuk selesaikan hutang negara terlebih dahulu,” katanya.

Mastura memberitahu The Malaysian Insight, walaupun semasa belanjawan kerajaan tidak memberi sebarang kata putus tentang peruntukan PTPTN, tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Jika tahun 2020, tiba-tiba peruntukan PTPTN ada, maka kerajaan akan umumkan sama ada peminjam akan diberikan diskaun seperti dilakukan kerajaan sebelum ini atau tidak,” jelas Mastura.

PTPTN kini menanggung hutang berjumlah RM40 bilion, lebih besar daripada hutang ditanggung syarikat pelaburan bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Punca utamanya adalah kelemahan sistemnya dan kutipan bayaran balik pinjaman yang rendah, hanya RM8.4 bilion daripada sejumlah RM56 bilion yang diagih sehingga Februari lalu.

PTPTN dijangka akan menanggung hutang kira-kira RM76 bilion dalam masa 20 tahun lagi.

Kementerian Pendidikan dilaporkan akan mewujudkan satu jawatankuasa bagi meneliti model baharu menggantikan PTPTN.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ia hasil dapatan diperoleh PTPTN menerusi Kertas Konsultasi Rakyat yang dilaksana agensi itu sejak awal tahun ini. – 24 November, 2019.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen