Haru-biru politik 


Zainal Rashid Ahmad

KRISIS perebutan kuasa dalam parti dan konspirasi mengatur agenda melalui ‘pintu belakang’ berterusan mewarnai suasana haru-biru politik negara. Walaupun PRU14 sudah 18 bulan berlalu, suhu politik kekal melepasi paras demam panas. 

Kemelut perang mulut sesama parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutama Bersatu dan DAP, serta krisis konspirasi kuasa dalam PKR – antara topik hangat. 

Selain itu, sentimen politik perkauman paling terasa. Setelah isu rasuah dan kleptokrasi sudah dianggap modal lama, ahli politik berbalik ke modal sensasi. Meniupkan politik perkauman sebagai modal untuk kekal relevan. 

Apabila janji Manifesto PH diungkit semula, perbahasannya dibobotkan dengan isu perkauman sebagai pembakar api kebencian. Setiap fakta politik terasa gagal untuk meyakinkan rakyat. Bagi mengukuh hujah politik, api politik perkauman dibakar habis-habisan. 

Selain PH sebagai kerajaan, keadaan Barisan Nasional (BN) selaku parti pembangkang juga bercelaru. Semua haru-biru selepas PRU 14. 

BN menang 79 kerusi tapi sekarang tinggal hanya 41 Ahli Parlimen (MP). Tandanya 38 sudah lari. Separuh (19 MP) dari empat parti komponen BN Sawarak. 

Umno sendiri kehilangan 17 MP (11 menyertai Bersatu). Selain isu MP lompat parti, 16 MP Umno yang masih kekal kini terbabit dengan konspirasi rundingan politik ‘pintu belakang’. 

Walaupun kepimpinan Umno bertegas tidak mahu memihak dalam isu kemelut kuasa PH, keadaan jadi sebaliknya. Secara terbuka 16 MP Umno memilih kaedah berkompromi dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. 

BN kini memiliki 41 MP dengan 39 kerusi milik Umno. Nampaknya, hampir separuh memilih ‘pintu belakang’. Pertemuan dengan Azmin pada 18 November antara tanda-tanda politik Malaysia menuju medan ‘perang dalam diam’. 

Namun, riuhnya tetap dapat dirasakan rakyat. 

Wartawan pening kepala 

Hari ini, kerjaya dalam dunia kewartawanan politik tidak mudah. Menganalisis persekitaran politik memerlukan kecekapan mengumpul maklumat. Selain itu pengalaman dan ketajaman melakukan penilaian. 

Era wartawan bertugas sekadar mengutip fakta dan melaporkan begitu saja –  kini dianggap kewartawanan lapuk yang uzur mindanya. 

Politik sekarang benar-benar memperlihatkan taringnya sebagai wahana kuasa. 

Manakala, ahli politik secara terang-terangan memaparkan sikap kemaruk untuk berkuasa. 

Minggu ini, PKR makin huru-hara. Krisis Azmin dan Presiden, Anwar Ibrahim merebak dari atas sampai ke bawah. PKR sudah terbelah dua. 

Anwar menguasai kepimpinan lantikan. Azmin pula mengetuai pasukan kartel yang menang pemilihan parti. Pertembungan kuasa dalam PKR kini krisis terbuka. 

Selain meneliti isu perpecahan kerajaan PH, wartawan sudah mula mengira kedudukan angka 222 kerusi parlimen. Paling tidak mencari asas sekiranya kerajaan baharu mungkin dibentuk tanpa perlu PRU. 

Istilah mudahnya – wartawan kini menghitung siapa MP yang menyokong Dr Mahathir dan siapa pula penyokong Anwar. 

Sekiranya Anwar berhajat mencabar kedudukan Perdana Menteri, siapa fraksi 112 undi yang akan menyokong usul undi mencabar Dr. Mahathir?

Pada masa ini PH memiliki 134 kerusi parlimen. Mustahil tanpa 26 MP Bersatu, tanpa pasukan Azmin dan ketidaktentuan sokongan Amanah dan Warisan, Anwar boleh jadi PM. 

Akhirnya, kiraan undi ini merebak dengan menghitung status sokongan 88 MP pembangkang. 

Berdasarkan pendirian Presiden Pas, Hadi Awang – 18 kerusi parti itu solid menyokong Dr. Mahathir. 

Ditambah dengan undi tidak rasmi MP Umno di rumah Azmin – Dr. Mahathir ada 16 lagi sokongan tambahan. 

DAP dikatakan cenderung bersama Anwar. Amanah disifatkan berpecah dua. Warisan masih tunggu dan lihat. GPS sudah jelas mahu berkecuali. 

Dalam PKR, total 50 kerusi tidak solid menyokong Anwar. Berdasarkan kecenderungan, Azmin dikatakan memiliki 18 sokongan. 

Di meja kopi, wartawan cenderung percaya, jumlah MP PKR yang akan bersama Azmin tidak sampai 10 kerusi. 

Apa pun, dalam kes ini, Anwar nampak bermasalah. Sekiranya mahu bertindak mengatur langkah berani mencabar Dr Mahathir - risikonya besar.

Pada masa ini, Anwar sukar mendapat 112 undi sokongan di parlimen. 

Umno juga caca-marba 

Tindakan 16 MP Umno bertemu Azmin, tanda arahan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi tidak diendahkan. 

Satu isyarat, Presiden Umno dan ketua Whip parti itu, Mahadzir Khalid tidak dipedulikan. Malah, Umno tidak memiliki en bloc (sepakat) dalam menentukan sokongan jawatan PM di parlimen. 

Walaupun BN masih bergegar meraikan kejayaan di Tanjung Piai, Umno kekal sebagai parti yang tidak berpaksi pada kuasa presiden. 

Secara keseluruhan, rakyat sangat bimbang dengan suasana politik sekarang. Namun, terpaksa berdiam diri kerana PRU15 masih jauh lagi. 

Dengan mandat yang diberi, kerajaan PH perlu menyelesaikan krisis dalaman dan memastikan langkah utama ekonomi ‘perut rakyat’ dipulihkan. 

Siapa yang tahan melihat politik berserabut begini terus berpanjangan? 

Aduh! – 24 November, 2019. 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen