Lebih 300 sekolah tahfiz gagal penuhi piawai keselamatan kebakaran


Muzliza Mustafa

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata pengendali sekolah-sekolah tahfiz tersebut diberi tempoh selama 90 hingga 180 hari untuk mematuhi notis bahaya kebakaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

LEBIH daripada 300 sekolah tahfiz di seluruh negara tidak mematuhi piawaian serta keperluan keselamatan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengeluarkan sebanyak 367 notis selepas membuat pemeriksaan ke atas 1,238 sekolah antara 26 September dan 17 Oktober.

“Selepas kebakaran di Kg Datuk Keramat pada September, pasukan petugas sekolah tahfiz mengarahkan Jabatan bomba dan Penyelamat menjalankan pemeriksaan ke atas sekolah tahfiz di seluruh negara dan kita dapati hanya 986 sekolah memenuhi piawai keselamatan dan keperluan bangunan,” katanya.

Noh menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian (DAP).

Beliau berkata, daripada 986 sekolah, hanya 748 yang berdaftar dengan Jakim.

“Namun masih ada yang memenuhi keperluan yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.”

Pengendali sekolah-sekolah tahfiz tersebut diberi tempoh selama 90 hingga 180 hari untuk mematuhi notis bahaya kebakaran, katanya.

“Kita akan beri mereka 90 hari kalau ia melibatkan hal seperti alat pemadam api dan alat pengesan asap. Tetapi jika ia melibatkan struktur utama bangunan, kita beri mereka 180 hari (untuk selesaikan masalah).”

Noh berkata pasukan petugas khas turut memutuskan dana RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak akan digunakan bagi pembinaan dan menaik taraf struktur pusat-pusat tahfiz.

“Tiada bantuan tunai akan diberikan. Apa yang akan kita buat ialah kita akan bekerjasama dengan Giatmara dan kolej-kolej komuniti untuk tangani masalah yang mereka hadapi. Laporan penuh akan dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.”

Pada 14 September, 21 pelajar dan dua guru meninggal dunia apabila asrama sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar.

Enam remaja berumur 12 hingga 18 tahun didakwa atas penyalahgunaan dadah dan membunuh.

Tujuh suspek pada awalnya ditahan pada 16 September, iaitu dua hari selepas kejadian yang memusnahkan tingkat dua bangunan sekolah itu.

Enam dari mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur beberapa minggu kemudian. Kes akan disebut pada 28 November. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen