PEMIMPIN parti komponen PH mengaku kesilapan parti masing-masing yang membawa kepada kekalahan besar dalam PRK Tanjung Piai, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata PH juga melihat kekalahan tersebut sebagai satu amaran kepada setiap parti untuk mengatasi kelemahan masing-masing dengan segera.
“Kita dengar taklimat post mortem untuk PRK dan kita ambil ingatan tentang teguran-teguran yang telah dibuat. Tapi saya tak boleh cerita pada media teguran apa dan apa yang perlu dilakukan.
“Namun masing-masing tahu kesalahan dan kita ambil tindakan untuk mengatasi (masalah),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Tambahnya, antara cadangan yang dikemukakan dalam bedah siasat semasa mesyuara Majlis Presiden PH hari ini adalah untuk menjalankan rombakan Kabinet.
“Kita juga dengar untuk rombakan Kabinet dan beberapa tindakan lain. Semua ini akan diberi perhatian oleh kita dan kita akan ambil tindakan jika perlu,” katanya.
Pada masa sama perdana menteri itu menafikan pemimpin parti PH berpecah belah dan menambah, isu berkenaan hanya dicetuskan oleh ahli yang tidak berpuas hati.
“Kadang ada perpecahan tapi tak berlaku di peringkat kepimpinan, mungkin ahli biasa-biasa yang rasa tak puas hati dan tak tahu fakta sebenar dan mereka buat teguran,” katanya.
Mahathir berkata biarpun PH mengamalkan prinsip kebebasan bersuara namun beliau mengingatkan untuk ahli menyalurkan bantahan kepada jawatankuasa parti masing-masing.
“Kita amalkan kebebesan bersuara namun tak boleh nak tutup mulut mereka sangat tapi apa yang boleh buat kita bagi penjelasan.
“Dan jika mereka mempunyai masalah mereka boleh menyalurkan ia dalam jawatankuasa parti masing-masing atau dalam majlis presiden PH supaya perkata ini tidak dihebah luar,” katanya.
Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini antara lain membincangkan mengenai kekalahan teruk parti itu kepada BN dalam PRK tersebut minggu lalu.
Calon PH gagal mempertahankan kerusi tersebut dan tewas kepada calon BN Wee Jeck Seng dengan perbezaan lebih 15,000 undi.
PRK kesembilan yang diadakan sejak Mei 2018 memberi kejutan besar kepada PH selepas hanya 18 bulan mengambil alih pentadbiran kerajaaan.
Penolakan pengundi itu antara lain dikaitkan dengan prestasi kerajaan dan kegagalan PH menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum. – 23 November, 2019.
Komen