Pakatan setuju rombak Kabinet, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Perdana menteri belum memutuskan sama ada beliau akan menyertakan nama Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam senarai Kabinet baharu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 November, 2019.

KESEMUA pemimpin tertinggi parti komponen PH bersetuju dengan cadangan untuk merombak Kabinet, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan pemimpin tersebut ke atas isu berkenaan yang timbul ekoran kekalahan teruk PH dalam PRK Tanjung Piai minggu lalu.

“Mereka tidak membantah, mereka tidak cakap tolonglah jangan tukar saya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya.

Perdana menteri turut ditanya sama ada beliau menyertakan nama Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam senarai Kabinet baharu itu.

Jawab beliau, ia masih belum diputuskan lagi.

Anwar dalam sidang media sama turut berkata beliau tidak meminta jawatan dalam Kabinet baharu itu.

“Saya tidak memohon,” katanya dengan nada berseloroh.

Dr Mahathir pada Rabu lalu menyebut, beliau mempertimbangkan untuk mengadakan rombakan Kabinet susulan kekalahan teruk PH dalam pilihan raya kecil itu.

Ia menjawab tuntutan daripada pemimpin dan penyokong parti yang berpendapat rombakan Kabinet satu cara untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat. – 23 November, 2019.  

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen