PERBELANJAAN lawatan rasmi Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) pada September lalu mengikut kadar yang ditetapkan dari masa ke semasa, kata menteri.
Meskipun tidak menyatakan jumlah perbelanjaan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata, perbelanjaan pada 9 hingga 16 September lalu adalah berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) Kemudahan Elaun dan Keistimewaan bagi perdana menteri.
“Perbelanjaan tersebut adalah meliputi perbelanjaan penerbangan, pengangkutan, elaun makan, dobi, telefon dan lain-lain.
“Perbelanjaan perdana menteri dan ahli rombongan adalah mengikut kadar yang ditetapkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Azalina berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke (DAP) yang meminta butiran terperinci jumlah kos penginapan dan jumlah bilik yang ditempah mengikut pecahan kategori berlainan di Trump International Hotel, Washington D.C oleh delegasi perdana menteri semasa lawatan rasmi ke AS pada September lalu.
Loke yang tidak berpuas hati dengan jawapan Azalina itu bagaimanapun menyifatkan ahli Parlimen Pengerang itu sebagai tidak faham soalan dan tidak mahu menjawab soalan yang spesifik mengenai kos lawatan rasmi tersebut.
“Apakah yang ingin disembunyikan oleh kerajaan mengenai kos lawatan tersebut? Adakah kos tersebut terlalu tinggi yang tidak dapat dijustifikasikan atau perbelanjaan untuk penginapan yang terlalu mewah sehingga akan menimbulkan kemarhaan rakyat Malaysia?” soalnya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurutnya kos penginapan di hotel tersebut sangat tinggi. Beliau memberi contoh kos harga bagi satu bilik suite yang bernama Franklin Suite, satu malam melebihi AS$5,000 atau lebih RM20,000.
“Itu pun bukan milik suite yang paling mewah. Untuk Presidential Suite dan Trump Townhouse, tempahan terus perlu dibuat dengan hotel tersebut dengan kadarnya tidak tertera dalam website mereka.
“Selain faktor kos, persoalan juga timbul mengapa delegasi perdana menteri memilih Trump International Hotel dengan pengetahuan bahawa hotel tersebut adalah milik Presiden Donald Trump?
“Ini bukan sahaja menimbulkan persoalan sama ada Najib sengaja nak mengampu Trump, tetapi juga soal ‘conflict of interest’ kerana undang-undang AS melarang presiden mereka mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dengan pemimpin negara asing yang bertemu dengan presiden AS,” katanya.
Sementara itu, beliau juga membangkitkan persoalan mengapa Najib tidak diberikan layanan “tetamu negara” oleh kerajaan AS seperti mana yang diterima oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong yang berada di Washington D.C ketika ini.
Katanya, Lee kini mendapat layanan istimewa dengan menginap di bangunan Blair House yang merupakan Rumah Tetamu Rasmi Presiden Amerika Syarikat dengan segala kos lawatan tersebut ditanggung oleh kerajaan AS.
“Selain itu, Trump juga mengadakan sidang akhbar bersama dengan Lee di Rose Garden, Rumah Putih. Adakah Najib dibeirkan layanan yang sama?
“Mengapakah perdana menteri Malaysia diberikan status layanan yang lebih rendah daripada perdana menteri Singapura oleh kerajaan AS? Apakah ini tidak berkaitan dengna isu kleptokrasi dan MO1 (Malaysia Official 1) yang sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat?” – 25 Oktober, 2017.
Komen