Jangan merayu pada musuh politik, kata Mat Sabu


Zaim Ibrahim

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pemimpin parti tidak patut membincangkan masalah dengan musuh politik kerana isu berkenaan boleh diselesaikan dalam gabungan parti PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak harus membelakangi parti dan mengadakan perbincangan sulit dengan pihak musuh, tegas Amanah.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata pemimpin parti tidak patut membincangkan masalah dengan musuh politik kerana isu berkenaan boleh diselesaikan dalam gabungan parti PH.

“Jangan kita merayu kepada musuh politik kita, pada Umno atau PAS, tak boleh. Nak bertemu minum kopi dengan sesiapa tiada masalah.

“Tetapi kalau kita mengharapkan musuh untuk memberi kekuatan kepada kita itu satu harapan yang silap,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata perbezaan pendapat juga tidak harus menyebabkan rakan parti mendapat bencana.

“Beza pendapat tiada masalah. Tapi kalau kita beza pendapat sampai memusnahkan kawan-kawan, ertinya kita beralih arah tuju.

“Bertengkar berhujah biar sesama Amanah, bersama PH. Tak setuju sesuatu (cakap) dalam mesyuarat” tambahnya.

Dalam sidang media selepas itu, Mohamad ditanya mengenai pertemuan diadakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen BN.

Beliau diminta menjelaskan sekiranya pertemuan itu tidak perlu sama sekali dan jika PH tergugat dengan usaha seperti itu.

“Bukan perlu atau tak bagi saya  kita tumpukan kepada apa-apa berbeza pandangan dalam biarlah selesai dalam pakatan harapan.

“Tidak ada tergugat selagi Pakatan Harapan utuh dan kukuh ia tidak apa-apa,” katanya.

 

Mohamad Sabu berkata segala perbezaan pendapat perlulah diselesai dalam PH dan bukan melalui perjumpaan yang membelakangi gabungan parti seperti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

Beliau mengulas tindakan Azmin yang menganjur pertemuan dengan belasan orang ahli Parlimen BN di kediamannya pada hari Isnin lalu.

Seramai 22 ahli Parlimen PKR dan BN termasuk Hishammuddin Hussein bertemu di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya pada Isnin malam di Putrajaya.

Azmin mendakwa pertemuan itu hanyalah perkara biasa dan tidak membabitkan usaha menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim dari menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen pembangkang itu pula mendakwa pertemuan berkenaan bagi membincangkan masalah ekonomi dan peruntukan untuk kawasan masing-masing.

Namun dakwaan itu dipersoalkan penganalisis yang melihatnya sebagai komplot di antara Azmin dan bekas menteri Umno, Hishammuddin.

Mereka melihat kedua-duanya mungkin tiada masa depan apabila Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad seperti dipersetujui PH.

Ini kerana Azmin yang juga timbalan presiden PKR diketahui bermasalah dengan Anwar dan Hishammuddin pula tiada jawatan lagi dalam Umno sejak BN tewas pilihan raya umum tahun lalu.

Pertemuan itu diadakan sejurus selepas parti kerajaan mengalami kekalahan besar dalam PRK Tanjung Piai, yang dikaitkan dengan prestasi PH dan kegagalan menunaikan janji dalam manifesto PRU14.

Susulan kekalahan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mempertimbangkan untuk mengadakan rombakan Kabinet.  – 23 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen