Terpulang pada PM untuk rombak Kabinet, kata Amanah


Zaim Ibrahim

Mohamad Sabu berkata perdana menteri berkuasa penuh dalam hal itu kerana rombakan Kabinet hanya boleh diputuskan oleh perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

AMANAH menyerahkan kepada budi bicara Dr Mahathir Mohamad sekiranya perdana menteri itu berhasrat untuk membuat rombakan Kabinet, kata presiden parti tersebut Mohamad Sabu.

Menteri pertahanan itu berkata, Dr Mahathir berkuasa penuh dalam hal itu kerana rombakan Kabinet hanya boleh diputuskan oleh perdana menteri.

“Terserah kepada perdana menteri, itu hak beliau. Beliau hendak rombak bila-bila masa itu hak perdana menteri, kita serah kepadanya.

“(Saya) setuju atau tidak setuju pun, itu adalah hak perdana menteri,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Konvensyen Amanah Pulau Pinang di negeri itu hari ini.

Perkara sama disuarakan naib presiden parti itu, Mujahid Yusof yang juga menteri hal ehwal agama.

“Isu rombakan Kabinet daripada tahun lepas lagi (dibangkitkan). Spekulasi yang timbul bermacam-macam. Seperti mana yang disebut, itu adalah hak perdana menteri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan untuk beliau digugurkan dari Kabinet, Mujahid berkata perkara itu hanyalah spekulasi.

Beliau ditanya mengenai spekulasi mengaitkan namanya sebagai antara menteri yang dicadangkan untuk digugurkan dari Kabinet.

Mujahid juga merupakan antara menteri yang paling tidak popular dalam kalangan pembaca The Malaysian Insight dalam satu tinjauan.

Dalam tinjauan itu, pembaca memilih Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai menteri paling tidak popular yang patut digugurkan dari Kabinet.

Dalam tinjauan pendapat selama lapan jam itu, Maszlee mendapat undian tertinggi 12,034, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dengan 11,634 undi.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak popular, hanya lapan undi di belakang Waytha dengan 11,626 undi.

Tiga lagi menteri Kabinet yang mendapat undi tidak popular yang tinggi lebih 10,000 undi ialah Mujahid (10,488), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali (10,118), dan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran (10,158).

Tinjauan itu dibuat susulan kenyataan Dr Mahathir pada Rabu yang berkata beliau mempertimbang rombakan Kabinet susulan kekalahan teruk PH dalam PRK Tanjung Piai hujung minggu lalu.

Beliau berkata, rombakan Kabinet juga perlu mengambil kira pandangan sekutu Bersatu dalam PH – PKR, DAP, Amanah – dan juga parti mesra PH, Parti Warisan Sabah.

Tambahnya, rombakan itu berkemungkinan dilakukan sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik tahun depan. – 23 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen