Alasan Singapura gantung rakyat Malaysia 'angkuh', kata kumpulan peguam


Ragananthini Vethasalam

Penasihat LFL N. Surendran berkata Singapura tidak diplomatik terhadap negara jirannya berkata penguatkuasaan di Malaysia tidak cukup kuat untuk menangkap ketua pengedar dadah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan Singapura “angkuh” apabila meminta Malaysia menambah baik penguatkuasaan banteras dadah, selepas republik itu menjatuhkan hukuman gantung ke atas seorang keldai dadah rakyat negara ini.

Penasihat LFL N. Surendran berkata Singapura tidak diplomatik terhadap negara jirannya berkata penguatkuasaan di Malaysia tidak cukup kuat untuk menangkap ketua pengedar dadah.

“Ia sebaliknya bertujuan untuk menyembunyikan hakikat bahawa penguakuasaan Singapura sendiri tidak cukup kuat untuk menangkap ketua pengedar dadah, tetapi hanya sering menghukum gantung keldai dadah. 

“Ini jelas apabila Singapura gagal menunjukkan badan penguatkuasaan mereka menangkap ketua pengedar dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Abd Helmi Ab Halim menjalani hukuman gantung di Penjara Changi semalam selepas disabitkan atas kesalahan mengedar dadah pada 2017.

Helmi ditahan pada 9 April 2015 dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 16.56 gram diamorphine pada 24 Mac 2017.

Petisyen pengampunan Helmi ditolak pada Julai lepas.

Surendran juga berkata pendirian Singapura bahawa hukuman mati sangat berkesan membanteras pengedaran dadah adalah tidak benar kerana tiada statistik atau bukti yang menyokong dakwaan tersebut.

Tambah beliau, hukuman gantung ke atas pesalah dadah melanggar piawaian antarabangsa. – 23 November, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen