Dr Mahathir perlu rombak Kabinet demi selamatkan Pakatan


Chan Kok Leong

Ahli akademik berkata Perdana Menteri Dr Mahathir perlu merombak Kabinetnya untuk kembalikan keyakinan rakyat terhadap PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

IA bukan mudah tetapi Dr Mahathir Mohamad perlu melakukan rombakan terhadap Kabinetnya bagi mengembalikan keyakinan dalam Pakatan Harapan (PH), kata ahli akademik.

“Ada keperluan yang menekan untuk beliau merombak semula Kabinet kerana kelemahan beberapa menteri,” kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim.

“Sesetengah daripada mereka tidak cekap sementara yang lain kelihatan tidak sesuai dengan peranan yang diberikan.”

Yusri yang membentangkan dapatan badan pemikir itu berhubung Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai semalam berkata walaupun Gobind Singh Deo daripada DAP seorang ahli politik yang bagus, beliau nampak tidak sesuai untuk memegang peranan sebagai menteri telekomunikasi.

Pada forum itu, Yusri berkata walaupun PH mengawal kerajaan, agensi seperti RTM dan Bernama tidak melakukan sebaiknya untuk membantu memberi penjelasan berhubung dakwaan yang PH “anti Melayu dan anti Cina” pada masa sama.

Ini adalah contoh bagaimana perkara yang salah itu tidak diperbetulkan, katanya.

Selain Gobind, Yusri berkata Dr Mahathir perlu juga mempertimbangkan untuk menukar Rina Harun dan Mohd Redzuan Md Yusof yang masing-masing menteri luar bandar dan wilayah, dan menteri pembangunan usahawan.

“Portfolio Rina sangat penting kerana ia untuk membantu pengundi luar bandar. Tetapi dia tidak nampak sesuai.”

Kegagalan atau kekurangan wawasan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah membawa kepada kehilangan keyakinan kepada PH dalam kalangan rakyat di luar bandar, di mana kebanyakannya adalah orang Melayu, kata Yusri.

“Bagi Redzuan, beliau mengganggu dengan projek kereta terbangnya dan rakyat mempersoalkan keutamaan kerajaan.”

Seorang lagi menteri yang perlu diubah ialah Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial P Waythamoorthy.

“Karakter menyerangnya itu tidak mencerminkan perpaduan dan tidak memberi inspirasi kepada sesiapa. Apatah lagi negara memerlukan seseorang yang boleh menyatukan kita, pasca pilihan raya umum lalu,” katanya.

Rombakan sebelum peralihan kuasa?

Walaupun Bersatu mencadangkan Dr Mahathir merombak Kabinetnya, negarawan berusia 94 tahun itu kelihatan enggan berbuat demikian.

Antara alasan yang diberikan pada sidang akhbar Rabu lalu ialah rombakan Kabinet akan mengganggu kelancaran kerajaan menjelang mesyuarat APEC tahun depan yang akan diadakan di Malaysia, dan beliau perlu berunding dengan semua parti lain sebelum membuat keputusan.

Bagaimanapun, antara sebab lain yang tidak dinyatakan ialah Dr Mahathir “berniat” untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim dua tahun selepas PH mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018.

Rombakan Kabinet akan mengganggu kerana Anwar akan mahu memilih Kabinetnya sendiri apabila beliau mengambil alih kerajaan kelak.

Tetapi Prof Dr Hamidin Abd Hamid dari Universiti Malaya berkata PH tidak boleh membazir masa lagi jika ia mahu mengembalikan keyakinan rakyat.

“Memandangkan tidak ada pengesahan tentang bila peralihan kuasa akan berlaku dan daripada menunggu saja, Dr Mahathir sepatutnya buat apa yang perlu dilakukan sekarang, iaitu merombak Kabinetnya,” kata Hamidin.

Dr Mahathir selama ini mampu melakukan apa yang dikehendakinya ketika beliau perdana menteri Barisan Nasional, kata Yusri.

“Tetapi dengan PH yang terdiri daripada lima parti dan di mana Bersatu bukan parti dominan, bukan mudah untuk Dr Mahathir merombak Kabinetnya.”

Melihat kepada beberapa menteri yang “lemah pencapaiannya” adalah pemimpin kanan dalam parti masing-masing, tugas menentukan siapa patut digugurkan menjadi semakin sukar untuk Dr Mahathir, kata Yusri.

“Jika beliau buat keputusan untuk melakukan rombakan, Dr Mahathir perlu berunding baik-baik dengan semua parti dan mendapatkan kata sepakat.

“Mungkin, satu cara ialah memastikan jumlah jawatan menteri bagi setiap parti dikekalkan,” kata Yusri. – 23 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen