Ops Lalang ajar kita untuk terus tentang kezaliman


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng hanya pemuda berusia pertengahan 20-an ketika ditahan dalam Ops Lalang. Pengalaman ditahan, diseksa, hidup dalam pengasingan mematangkan lelaki yang kini antara pemimpin kanan barisan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.

KETIKA Lim Guan Eng ditahan tanpa bicara antara Oktober 1987 hinggalah April 1989, beliau hanyalah pemuda lingkungan usia pertengahan 20-an.

Lim adalah salah seorang daripada 106 ahli politik, aktivis, intelektual, pelajar, seniman dan lain-lain yang ditahan di bawah Operasi Lalang (Ops Lalang) yang dilakukan polis dikatakan untuk menghalang rusuhan kaum berlaku di negara ini.

Tiga puluh tahun berlalu, Lim, 54, kini merupakan setiausaha agung DAP, ketua menteri Pulau Pinang dan timbalan presiden Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad, lelaki yang merupakan perdana menteri ketika Lim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini sudah dimansuhkan.

Katanya penahanan di bawah ISA selama 18 bulan adalah “pengalaman yang menakutkan”, menambah yang kesakitan semasa menjadi tahanan masih dirasai hingga kini. Tetapi beliau juga percaya perkara lepas perlu dibiarkan wujud hanya di masa silam.

“Saya adalah mangsa. Saya masih lagi rasa sakitnya sehingga sekarang. Tetapi adakah kita hendak benarkan penderitaan peribadi, kehendak untuk membalas dendam peribadi mengatasi keperluan yang lebih besar untuk menyelamatkan negara,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

“Apa yang terjadi dah berlaku. Kita tak boleh putar balik masa.”

Tetapi, Lim masih mengingati pengalaman itu sebagai “kesengsaraan” dan enggan memperlekehkan kesan buruk pengalaman kepada tahanan dan keluarga serta sahabat handai mereka.

Beliau menghabiskan 60 hari dalam kurungan seorang diri dan masih mengimbau dengan jelas daripada bilik kurungannya, beliau dapat mendengar suara kanak-kanak bermain di taman permainan, ketawa dan bersuka ria sesama mereka.

“Macam khayalan. Dalam bilik ini anda disekat kebebasan, tetapi anda boleh dengar budak-budak ketawa di luar. Ia sukar dipercayai.

“Cara mereka soal siasat anda, cara mereka mainkan peranan dan rutin orang baik dan jahat, bagaimana mereka mahu anda mengakui sesuatu yang anda tak buat, mengakui yang anda ada buat salah.

“Mereka seksa saya dengan tak bagi saya tidur 48 jam. Saya hilang sabar, badan jadi lemah. Saya jatuh sakit, jadi mereka berhenti bimbang kalau-kalau saya mati.

“Saya diletakkan di dalam sebuah bilik biru di pusat tahanan untuk soal siasat. Seluruh bilik itu biru, siling, dinding dan lantai pun. Ada kipas biru besar dan di kipas tu ada cangkuk besar.

“Saya tanya kenapa kipas ada cangkuk. Mereka kata untuk gantung saya..tak tahu sama ada mereka bergurau atau tidak.

“Saya diletakkan di atas kerusi dan lampu disuakan ke muka saya. Saya sangat penat. Mereka akan jerit ke telinga kalau saya terlelap. Akhirnya selepas lalui semua itu, saya tak boleh tahan lagi.

“Saya tuding jari ke arah pegawai dan kata, ‘Nak pukul, pukul jerlah. Tak berani atau tak ada telur? Saya cabar dia pukul saya. Dia mahu tetapi berhenti. Lepas tu saya pengsan.

“Itu yang berlaku bila ada kuasa diktaktor, bila ada kuasa yang menindas,” kata Lim.

Berikut adalah petikan wawancara Lim Guan Eng (LGE) dengan The Malaysian Insight.

TMI: Apa rasanya dalam tahanan, apa yang anda semua buat dalam pusat tahanan?

LGE: Survive. Awak tahu, ia sangat sukar. Kami berinteraksi, memasak, membaca, memahami satu sama lain daripada perspektif yang berbeza, bercakap tentang pandangan kami yang berbeza tentang demokrasi dan kebebasan.

Mat Sabu sentiasa orang PAS, dia tak pernah tinggalkan PAS. PAS yang tinggalkan dia. Ketika itu PAS sokong demokrasi, kebebasan, toleransi.

TMI: Jadi boleh katakan yang pertemuan dengan Mat Sabu di Kamunting membuka peluang kerjasama PAS dan DAP?

LGE: Bukan saya sahaja berjumpa Mat Sabu di Kamunting. Dia juga jumpa (ayah saya Lim) Kit Siang dan Karpal Singh. Di situlah dia jumpa dan kenal Kit Siang dan Karpal, bukan saya seorang.

Tetapi kami lebih kurang sebaya, kami jadi kawan baik. Dua (Kit Siang dan Karpal) lagi lebih tua, generasi yang lebih berusia. Kami boleh cakap dan melawak. Kami berkongsi minat sama. Kami berdua baru bina keluarga.

Dia jaga keluarga saya, saya jaga keluarga dia.  Bila saya dihumban ke dalam ketidaktentuan politik, dia selalu datang jenguk saya. Ia pengalaman yang sangat berbeza ketika itu.

TMI: Boleh anda gambarkan memori anda tentang Kamunting?

LGE: Ia menyedihkan, kadang kala menyakitkan; tetapi ditahan selama 18 bulan kuatkan pegangan saya.

Ia juga bolehkan saya kenal Mat Sabu dan beberapa orang lain. Jadi, apabila masa tiba untuk kami bersama, kami dah kenal satu sama lain. Jadi ia lebih mudah untuk bina percaya. Nak ukur keyakinan sukar. Sebelum bekerjasama, perlu ada percaya dan ia ambil masa untuk membentuknya.

Khalid Samad dan Mahfuz Omar pun ada di situ. Sehingga sekarang, kami masih berkawan baik, masih bersama; ikatan tu kukuh sukar nak dipatahkan.

Mahfuz masih kawan kami.

Mat Sabu tak pernah tinggalkan PAS, PAS yang tinggalkan dia. PAS dahulunya menyokong demokrasi, kebebasan dan toleran, kata Guan Eng. Beliau dan Mat Sabu ditahan dalam Ops Lalang dan menghabiskan masa tahanan di Kamunting bersama-sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

TMI: Tetapi semua ini berlaku kepada anda ketika Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri. Sekarang beliau pengerusi Pakatan Harapan.

LGE: Benar. Sebab itu dia kata: “Ada perkara yang saya buat awak tak setuju. Tapi biar kita buat ini dulu, dan jika awak fikir perlu ada tindakan, saya rela dipertanggungjawabkan.”

Dia kata begitu ketika Otai Reformasi dan dia diajuk.

Katanya: “Apa sahaja yang saya buat, saya tak pernah ada AS$1 bilion dalam akaun peribadi saya. Malaysia tak pernah digelar kleptokrasi global. Kita tak pernah ada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan ringgit tak pernah jatuh ke tahap seteruk ini.”

Betul. Rakyat tak pernah disakiti sesakit sekarang.

TMI: Tetapi anda menderita secara langsung ketika ditahan di bawah ISA ketika pentadbirannya.

LGE: Saya adalah mangsa. Saya masih rasakan sakitnya sehingga sekarang. Tetapi adakah kita akan benarkan penderitaan peribadi, kehendak balas dendam peribadi mengatasi keperluan lebih besar untuk selamatkan negara. Apa yang berlaku dan pun terjadi. Kita tak boleh putar balik masa.

Tetapi anda perlu pastikan masa silam tak menjarah masa depan. Ada yang kata masa depan adalah pemula. Jadi biar kita pastikan masa silam bukanlah pemula kepada masa depan.

Pentadbiran sekarang perlu diganti. Ia adalah kleptokrasi terbesar dunia. Jika ada biarkan mereka terlepas, ia akan bukan pintu kepada semua perkara..seolah kita kata sesiapa sahaja boleh terlepas dan tak dihukum. Tak boleh la macam tu kan?

Kadang-kadang kita perlukan diktator untuk jatuhkan diktator. Ia bukan apa yang kami mahukan tetapi di bawah keadaan sekarang dia (Dr Mahathir) akan disekat oleh struktur. Dalam PH, semua parti sama taraf; tiada yang dominan. Semua bermula pada kesamarataan yang setara. Kita bekerja ikut konsensus. Dr Mahathir setuju.

TMI: Apa yang kita pelajari daripada Operasi Lalang?

LGE: Kita tak boleh tunduk atau mengalah.

TMI: Anda tak takut sesuatu macam ISA akan wujud balik?

LGE: Yup. Sekarang kita ada SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) digunakan kepada ahli politik pembangkang. Kerana itulah kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Itu harganya untuk sebuah kebebasan.

Dalam usaha untuk merungkai binaan sebuah negara bermusuh, kita perlu memastikan demokrasi tulen, mewujudkan undang-undang dan menghapuskan bukan sahaja autokrasi tetapi juga kleptokrasi. Ia juga berbahaya. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen