Peduli apa, lajak tetap lajak


Diyana Ibrahim

Kegiatan basikal lajak jadi fenomena dan tular di kalangan remaja sejak laporan media yang meluas mengenainya dibuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 November, 2019.

HUKUM atau haramkan macam mana sekalipun, pengaruh basikal lajak tidak akan dapat dikekang, kata kumpulan penunggang basikal lasak yang kontroversi itu.

Beberapa budak basikal lajak yang ditemui The Malaysian Insight berkata tekanan orang ramai selepas kematian lapan remaja sebaya mereka di Johor Bahru dua tahun lalu menyebabkan kegiatan itu bertambah popular.

Hakikatnya, tekanan itu menjadikan pengaruh basikal lajak makin meluas, kata mereka.

“Desaklah macam mana pun, tekanlah sekalipun, basikal lajak ini akan tetap hidup. Trend ini tidak akan mati bahkan akan terus berkembang,” kata seorang penunggang basikal lajak yang mahu dikenali dengan nama Khairul kepada The Malaysian Insight

Khairul, 16, yang tinggal di Subang mula bermain basikal lajak sejak empat tahun lepas.

Basikal lajak atau basikal nyamuk merujuk pada basikal yang diubah suai supaya mudah dipakai untuk aksi lasak.

Khairul mengaku ibu bapanya tidak setuju dengan kegiatannya berbasikal lajak walaupun mereka yang membelikan basikal itu untuknya.

“Ibu bapa saya bising juga, terutama bila isu tengah ‘panas’ sekarang. Tapi biasa mereka bising tidak lama.

“Kami pun tak takut pada polis. Kalau kita nampak polis kita larilah, cuma sekarang kita  mungkin perlahan sikit (aktiviti) tapi masih main lagi,” katanya.

Tak takut mati

Menurut seorang penunggang basikal lajak bernama Lee dari Johor Bahru, kegiatan itu mula jadi trend selepas lapan remaja terbunuh dirempuh kereta pada Februari 2017.

Kegiatan itu juga jadi fenomena dan tular dalam kalangan remaja sejak laporan media yang meluas mengenai kumpulan basikal lajak yang memakai nama ‘tenteraflyjb’.

“Sejak ‘tenteraflyjb’ ini diviralkan dan masuk berita dan sejak kemalangan di JB, pergaulan kumpulan kami semakin berkembang,” kata Lee, yang juga antara pengasas kumpulan basikal lajak itu.

Kumpulan itu mempunyai ratusan anggota dan puluhan ribu pengikut, sementara pengaruhnya menular ke setiap negeri.

“Bukan di Johor Bahru saja, setiap negeri ada kumpulan basikal lajak masing-masing dan biasanya kita akan berkongsi aktiviti di laman sosial,” katanya.

Semua remaja yang ditemui ini tidak pasti bagaimana basikal lajak bermula. Namun aktiviti ini bukan baharu dan sudah wujud di negara lain sejak 1980-an.

Budak lajak bukan jahat

Peminat basikal lasak BMX pada suatu waktu dulu mengubah suai basikal mereka untuk membolehkannya melungsur laju dengan membuang brek dan memendekkan rangkanya.

Tarikan kepada basikal lajak ini bukan saja kerana keseronokan aksi lasak itu tetapi juga persahabatan sesama remaja.

“Kami tidak buat jahat pun cuma bermain. Macam saya sendiri, saya minat dengan basikal lajak kerana dapat ramai kawan melalui kegiatan itu,” kata Lee.

Remaja itu mengaku pernah terlibat dengan kegiatan berlumba di jalan raya. Namun beliau mempertahankan diri kerana katanya apa lagi pilihan yang ada kerana mereka tiada tempat yang sesuai untuk bermain.

“Mana lagi kalau bukan jalan raya. Kalau pihak kerajaan sediakan track lajak, akan kami gunakan,” katanya.

Lee memberitahu rutin mereka ialah berkumpul pada setiap Jumaat di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, tidak jauh dari tempat kemalangan lapan remaja dua tahun lalu.

“Kalau ada perayaan lebih meriah,” katanya.

Namun katanya sekarang sudah tidak macam dulu lagi; sekarang, mereka selalu “diganggu” oleh polis.

“Dulu polis baik dengan kami tapi sekarang layanan berbeza. Kalau nampak kami berkumpul, mereka akan halau kami dengan cara yang kasar,” katanya.

Sikap polis itu hanya menyebabkan remaja benci kepada pihak berkuasa dan memberontak, tambah Lee.

Terlajak ikut kawan

Seorang lagi remaja Saiful, 11, mengaku beliau terjebak minat basikal lajak kerana semua kawannya pun main basikal lajak.

Namun bagi Saiful yang tinggal di Puchong, Selangor, kegiatannya dikawal ketat oleh ibu bapa.

“Saya tidak dibenarkan keluar malam, tidak boleh berlumba dan hanya bermain kawasan rumah dan perlu balik rumah waktu yang ditetapkan. Itu syarat yang ibu bapa saya berikan kalau nak terus bermain,” katanya.

Kata Saiful, beliau tiada masalah dengan syarat itu dan tidak pernah melanggarnya. – 29 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen