SOKONGAN pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) susut kira-kira 40% pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjun Piai hujung minggu lalu dan merupakan punca utama kerusi parlimen itu jatuh semula ke tangan Barisan Nasional (BN), menurut kaji selidik Ilham Centre.
Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata keputusan pada Sabtu lalu adalah tanda protes masyarakat Cina terhadap prestasi PH sepanjang 18 bulan mentadbir sejak menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Sokongan orang Melayu kepada PH pula hanya menyusut sebanyak 5.1%, tambah beliau.
Yusri berkata kemarahan pengundi terhadap PH pada PRK Tanjung Piai adalah “luar biasa”.
“Pengundi beritahu kami mereka marah kepada Pakatan tetapi tidak dapat nak jelaskan kenapa mereka marah,” katanya.
PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu adalah kekalahan terburuk PH selepas BN menang dengan majoriti lebih 15,000 undi.
Pada PRU14, PH merampas kerusi parlimen itu dari BN dengan majoriti 524 undi.
Ilham Centre menjalankan kaji selidik empat hari sebelum hari mengundi dan meramalkan PH akan kalah dengan hampir 16,000 undi.
Hasil kajian mendapati 83% pengundi Melayu cenderung untuk memilih BN pada PRK tersebut.
Antara faktor utama peralihan sokongan itu adalah kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan prestasi kerajaan persekutuan yang kurang memuaskan, kata badan kajian itu. – 22 November, 2019.
Komen