SETIAP minggu lebih kurang 40 remaja, kebanyakannya budak basikal lajak, bertumpu di sebuah kedai basikal di Kuala Lumpur milik seorang anak muda yang tidak menyokong hobi lasak mereka.
Akmal Asfar Mutalib tidak gemar apa yang budak-budak ini buat dengan basikal mereka tetapi dia juga tahu, mengasingkan mereka tidak juga akan menjauhkan mereka daripada hobi bahaya itu.
Maka dia menganjurkan kelas mingguan mengajar budak-budak ini asas menjaga dan membaiki basikal.
Budaya basikal lajak dalam kalangan remaja sekali lagi jadi perhatian baru-baru ini selepas mahkamah di Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang pemandu daripada tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal lajak pada Februari 2017.
Lapan remaja itu terbunuh dirempuh kereta semasa menunggang basikal lajak di sebatang jalan bukit yang gelap, pada pukul 3 pagi.
Basikal lajak atau basikal nyamuk merujuk pada basikal yang diubah suai supaya mudah dipakai untuk aksi lasak.
Walaupun berita nahas itu mendapat liputan luas, ia tidak juga mengendurkan populariti kegiatan bahaya ini dalam kalangan remaja.
“Memang saya tak benarkan mereka bawa basikal lajak, kalau nak beli barang pun memang syarat saya minta untuk jangan bawa basikal lajak,” kata Akmal kepada The Malaysian Insight, dalam satu pertemuan di kedainya di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Saya hormat minat mereka cuma saya tak setuju basikal lajak itu sendiri. Tapi yang saya tak setuju itu saya ketepikan, saya kata mereka boleh belajar, itu sebenarnya yang kita boleh buat… bimbing mereka daripada nak haramkan,” katanya.
Akmal mendekati budak basikal lajak dengan mengadakan kelas percuma untuk mereka mempelajari kemahiran asas mekanik basikal.
Kelas yang diberi nama ‘Parktool School’ itu diusahakan sejak dua tahun lalu, dengan kerjasama Yayasan Air Asia.
“Kelas biasanya seminggu sekali, dan mereka akan datang lepas habis sekolah.
“Rata-rata mereka ini sudah ada kemahiran cuma mereka perlukan orang terima mereka dan beri peluang.
“Biarpun ada yang nakal… itu kita tak boleh elak, waktu usia mereka memang normal memberontak… tapi sebenarnya mereka ada potensi. Cuma kalau kita biarkan, mereka ini tidak akan ke mana,” katanya.
Tahun depan, Akmal merancang untuk meluaskan kelasnya di semua kawasan perumahan rakyat di Kuala Lumpur melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Kita hendak teruskan dengan kiosk vending machine basikal dan kelas. Dari situ kita boleh lebih dekat dengan mereka,” katanya.

Haram bukan penyelesaian
Seorang lagi pemilik kedai basikal Azrul Affendy Adenan tidak setuju dengan persepsi bahawa budak basikal lajak ini golongan bermasalah walaupun kegiatan mereka mendapat publisiti buruk.
Katanya, budak basikal lajak ini hanya mencari kegiatan untuk mengisi masa lapang.
“Kebetulan ketika ini memang trend basikal lajak, jadi mereka jadikan ia sebagai aktiviti masa lapang mereka,” katanya, yang mengendalikan program masyarakat dengan budak basikal lajak di Kampung Nakhoda, Selayang.
Azrul menganjurkan pelbagai program berbasikal selain gotong royong dan mencuci masjid untuk mengisi masa lapang mereka.
“Ini dapat menarik minat mereka daripada nak berlumba di jalan raya,” katanya.
Sama seperti Akmal, Azrul juga menasihati remaja berkenaan mengenai ciri keselamatan berbasikal kalau mereka datang membeli basikal atau alat ganti di kedainya.
Beliau juga percaya mengharamkan basikal lajak bukan penyelesaian untuk menyelesaikan isu itu.
Katanya, tindakan penguatkuasaan hukuman tidak berkesan kerana kemalangan yang membunuh lapan remaja di Johor Bahru dua tahun lalu pun tidak menyebabkan mereka takut untuk berbasikal lajak.
“Waktu itu perniagaan saya laris kerana ada permintaan tinggi. Itu sebabnya hukuman atau mengharamkan penguatkuasaan tidak akan mematikan aktiviti kegiatan basikal lajak, mungkin sekarang kurang sedikit tapi ia tidak akan mati,” jelasnya. – 29 November, 2019.
Komen