SERAMAI 19 pemilik lot kedai di Plaza Rakyat yang akan dibangunkan semula menuntut harga yang sama bagi unit mereka, seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual dan Beli yang ditandatangani lebih 20 tahun lalu.
Mereka berkata demikian selepas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad pada minggu lepas mengumumkan dua projek terbengkalai di tengah pusat bandar Kuala Lumpur, iaitu Plaza Rakyat dan Hotel Hyatt, akan dibangunkan semula.
Khalid berkata Plaza Rakyat yang terletak di Jalan Pudu akan dibangunkan pemaju baharu dan perintah pembangunan projek akan dikeluarkan hujung tahun ini selepas pemaju itu menyelesaikan caj yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Peguam Manpal Singh Sacdev yang mewakili pembeli berkata Kementerian Wilayah Persekutuan bertanggungjawab membuat dan memenuhi perjanjian melibatkan pemilik lot kedai.
Manpal memberitahu The Malaysian Insight, sebagai pemilik tanah DBKL bertanggungjawab mematuhi perjanjian.
“Perjanjian Jual dan Beli (S&P) ditandatangani antara DBKL, pemaju dan pemilik lot pada 1995.
“Tuntutan pemilik lot adalah untuk unit dengan harga seperti yang dipersetujui 20 tahun lalu,” katanya.
Manpal berkata ketika perjanjian ditandatangani dahulu, setiap unit berharga antara RM153,000 dan RM2 juta.
“Pembeli juga sudah membayar wang pendahuluan sebanyak 10% bagu unit mereka.
“Mereka tidak meminta pampasan (apabila projek dimulakan), tetapi mahu harga yang sama dalam perjanjian asal.”
Tambah peguam itu, projek itu terbengkalai disebabkan oleh pemaju, bukan pembeli lot kedai. – 24 November, 2019.
Komen