Menjelang Bajet 2018, kepincangan ekonomi terserlah dalam kehidupan rakyat


Sheridan Mahavera

Peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad, persaingan dengan pekerja asing, percanggahan dasar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri pembangkang menghimpit kehidupan rakyat Malaysia yang bergelut untuk terus bernafas dalam masa sukar dan mencabar ekonomi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

AZMAN Razak mempunyai diploma dalam bidang penyelenggaran enjin kenderaan tetapi pemuda berusia 23 tahun itu masih tidak mendapat pekerjaan setaraf dengan kelayakannya sejak menamatkan pengajian daripada sebuah kolej teknikal tiga tahun lalu.

Dia dan rakan-rakannya sudah memohon pekerjaan di banyak kilang menggunakan sijil mereka yang serupa dengan kelayakan digalakkan kerajaan melalui inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Tetapi setiap kali memohon, setiap kali itu jugalah mereka ditolak oleh syarikat-syarikat berkenaan. Bukanlah kerana mereka kurang kelayakan tetapi syarikat-syarikat ini- termasuklah nama gergasi seperti Proton dan Toyota- lebih gemar menggaji pekerja asing.

Pengalaman Azman dan mereka yang lain ditemui The Malaysian Insight menggambarkan kepincangan strategi ekonomi pentadbiran Najib menjelang pembentangan bajet terbaru pada 27 Oktober ini.

Kepincangan dalam ekonomi negara ini bakal mencabar keupayaan kerajaan untuk menangani masalah seperti kadar pengganguran belia yang tinggi dan inflasi menerusi bajet mereka.

Pentadbiran sudah meminta maklum balas daripada rakyat Malaysia tentang apa yang mereka mahukan dalam bajet.

Kajian dilakukan syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos Malaysia terhadap 952 pengguna pada hujung September menyentuh mengenai fokus yang perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan pada Bajet 2018 mendapati  kebimbangan paling utama adalah kos sara hidup yang tinggi iaitu sebanyak 55%.

Isu kedua yang paling menekan rakyat adalah kekurangan perumahan mampu milik pada kadar 42% diikuti dengan potongan cukai sebagai 37% dan pertumbuhan ekonomi pada kadar 26%.

Temubual The Malaysian Insight dengan rakyat Malaysia dan mereka yang menulis kepada perdana menteri menerusi NajibRazak.com mempunyai persamaan dengan kajian ini.

Ia juga mendedahkan bagaimana usaha kerajaan untuk menangani masalah seperti pengganguran belia dan peningkatan inflasi terjerut dengan dasar mereka sendiri. ‘

Percanggahan

Azman seorang graduan teknikal sendiri juga sedar tentang percanggahan antara apa yang dikatakan kerajaan dan realiti kehidupan akar umbi.

Pemuda yang berasal dari Johor itu berkata kerajaan menyuruh pemuda sepertinya untuk belajar kemahiran perdagangan supaya mereka boleh memperolehi pekerjaan yang baik.

“Tetapi apabila kami yang ada kelayakan dan memohon pekerjaan, syarikat-syarikat ini beritahu yang mereka sudah ambil pekerja asing,” kata Azman ketika ditemui di Shah Alam. Dia tinggal bersama abangnya di situ.

Kerajaan mengatakan terdapat 1.7 juta pekerja asing sah di Malaysia dan membenarkan perniagaan berorientasikan eksport untuk memohon 100% sumber tenaga pekerja asing.

“Bila kita tak buat apa-apa, orang marah tetapi bila kita keluar cari kerja selepas habis belajar, tak ada kerja. Jadi apa guna sambung belajar? Yang ada hanyalah hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).”

Peluang pekerjaan yang terhad serta majikan yang lebih gemar menggaji pekerja asing menimbulkan masalah dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi. Mereka bukan sahaja sukar memperolehi pekerjaan setaraf kelayakan tetapi turut terbeban dengan hutang pendidikan, PTPTN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

Pengalaman pesara, Yusof Mohamad sebagai penjual pisang goreng pula mendedahkan percanggahan yang berbeza.

Kerajaan mahu kelompok berpendapatan rendah sepertinya untuk membuka perniagaan mikro seperti gerai makanan untuk memperolehi pendapatan tambahan. Tetapi, ketika mereka berbuat demikian, mereka terpaksa berdepan dengan majlis kerajaan tempatan yang sering menganggu kerana peniaga kecil ini tidak mampu mendapatkan lesen perniagaan yang sah.

“Saya dah mohon banyak kali. Saya lalui semua proses dan berjumpa MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam). Tetapi saya masih tak dapat lesen perniagaan. Bila kena serbu, mereka rampas semua barang saya.”

“Kerajaan persekutuan dan negeri kena bekerjasama untuk memudahkan rakyat macam saya berniaga kerana masa susah sekarang ni, kami perlu duit lebih.”

Ringgit yang menyusut

Penjawat awam, Hana pula melihat nilai setiap ringgit yang diperolehinya semakin menyusut sejak lapan tahun lepas walaupun gajinya bertambah.

“Dulu saya dapat lebih kurang RM1,000 sebulan, saya masih ada lebih duit untuk beri kepada emak ayah dan menyimpan untuk diri sendiri,” katanya yang berusia 39 tahun.

Tetapi peningkatak gaji diterima Hana tidak selaras dengan kenaikan harga untuk susu bayi, lampin dan yuran pusat penjagaan kanak-kanak.

“Sekarang saya dapat lebih tapi saya tak mampu simpan banyak dan saya tak boleh beri banyak kepada emak ayah. Jadi saya mahu kerajaan buat sesuatu tentang gaji kita atau kawal peningkatan harga.”

Laporan Ispos turut menyebut yang data kerajaan sendiri menunjukkan Index Harga Pengguna (CPI) naik 0.6% kepada 4.4% pada September 2017 berbanding 3.7% pada Ogos 2017.

Baru-baru ini, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menyifatkan 2017 sebagai tahun kenaikan harga yang menjejaskan kuasa beli pengguna.

Eksekutif jualan Malinda Jamal pula mahukan 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan kerana ia meningkatkan harga semua perkara.

“Kerajaan kata harga akan turun selepas GST tapi tiada yang turun. Sebaliknya harga makin naik. Kerana minyak naik, semua barang (harga) pun naik juga.”

Menulis di NajibRazak.com, Richard Samie mahukan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 4% selaras dengan kadar inflasi.

Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menyifatkan 2017 sebagai tahun kenaikan harga yang menjejaskan kuasa beli pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

Ravidasan menyuarakan cadangan yang sama untuk penjawat awam, mengatakan yang elaun perlu dinaikkan bagi menampung peningkatan kos sara hidup.

Looi Kok Wah pula menggesa kerajaan memberikan lebih peruntukan kepada perkhidmatan rawatan asas di hospital kerajaan.

“Rawatan asas adalah pemula penjagaan kesihatan dan boleh membantu mengurangkan keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan negara.”

Mohamad Faisal pula mahukan kerajaan memberikan rebat cukai kepada mereka yang berpendapatan RM50,000 setahun dan ke bawah berbanding hanya untuk kelompok pendapatan RM25,000 sekarang.

“Pengecualian cukai untuk individu perlu dinaikkan kepada RM12,00 berbanding RM9,000 sekarang,” tulisnya.

Hampir 37% dalam kajian Ipsos mahukan kadar GST dan cukai lain diturunkan.

Malinda, seorang jurujual pula mengatakan kekurangan perumahan mampu milik adalah masalah besar untuk orang berusia dalam lingkungan 30-an sepertinya.

Masalah ini adalah kebimbangan kedua paling banyak dilaporkan responden dalam kajian Ipsos iaitu sebanyak 42%.

“Saya, adik beradik saya dan kawan-kawan semuanya sudah cuba memohon rumah PR1MA,” kata Malinda merujuk kepada inisiatif kerajaan, Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Rumah PR1MA ditetapkan pada harga RM400,000 dan ke bawah dan menyasarkan pembeli rumah pertama.

“Tetapi hanya seorang yang saya kenal diterima permohonannya,” kata Malinda. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen