Kementerian kaji tawaran jet Rusia


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beberapa aspek perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum menggantikan jet lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

KEMENTERIAN Pertahanan tidak mempunyai rancangan membeli jet pejuang baru tetapi akan mengkaji tawaran dari Rusia, kata menterinya Mohamad Sabu kepada Dewan Rakyat.

Beliau berkata kementeriannya perlu mempertimbangkan beberapa aspek sebelum menggantikan jet lama.

“Pada masa ini, tiada keperluan kementerian membeli pesawat baharu.

“Bagaimanapun, kami sedang mengkaji tawaran dari Rusia untuk mengambil kembali jet lama (dan menggantikannya dengan yang baharu).

“Kita perlu melihat keadaan kewangan kita sebelum membuat keputusan,” katanya sambil menambah yang jet pejuang semasa Sukhoi Su-30MKM dan MiG-29 sudah lama.

Mohamad menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PAS) yang bertanya sama ada Putrajaya bersedia untuk menerima tawaran Rusia.

Pada September, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata perbelanjaan untuk membeli pesawat pejuang mahal tidak produktif kerana Malaysia bukan dalam keadaan berperang.

Beliau menambah negara tidak banyak memberi peruntukan kepada pertahanan negara, tetapi akan mempertimbangkan tawaran Rusia untuk memastikan pasukan pertahanan negara beroperasi pada tahap tinggi.

“Walaupun jet sudah lama dan mungkin tidak beroperasi dalam keadaan terbaik, wang adalah kebimbangan utama dalam perbincangan mendapatkan penggantian.” – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen