Kerajaan akan kaji semula, bukan mansuhkan Sosma, kata menteri undang-undang


Chan Kok Leong

PUTRAJAYA akan mengkaji semula, bukannya memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Liew Vui Keong.

“Kami sedang membuat semakan berhubung tempoh penahanan (penahanan tanpa perbicaraan) selama 28 hari, dan memberikan akses tahanan kepada peguam,” kata menteri hal ehwal undang-undang kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

“Tetapi suka atau tidak, kita masih memerlukan undang-undang keselamatan di negara ini. Kita akan menghadapi masalah dengan keselamatan sekiranya tidak berhati-hati.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memansuhkan Sosma, yang baru-baru ini digunakan untuk menahan 12 individu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pakatan Harapan berjanji untuk membuat semakan peruntukan undang-undang tertentu, dan ia sedang dilakukan, katanya.

“Saya juga terlibat dalam jawatankuasa, bersama dengan Kementerian Dalam Negeri.

“Rancangannya adalah untuk melakukannya secepat mungkin, tetapi kita perlu melakukan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan terlebih dahulu.

“Saya tidak boleh berkata lebih daripada itu, kerana ini adalah di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri.”

Pagi ini, kira-kira 30 individu mengadakan protes di luar Parlimen menggesa Putrajaya untuk memansuhkan undang-undang itu. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen