Ahli kesatuan sokong perubahan undang-undang buruh


Sheridan Mahavera

Undang-undang sedia ada menetapkan hanya satu kesatuan boleh dibentuk untuk mewakili pekerja dalam industri tertentu seperti pekerja dalam sektor pengangkutan, industri besi dan automatif, kata presiden UNI-MLC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2019.

KADAR upah lebih tinggi dan persekitaran kerja yang lebih baik adalah antara manfaat jangka panjang dari perubahan dalam undang-undang buruh, selain memberi pekerja lebih banyak kebebasan untuk membentuk persatuan, kata pakar.

Pindaan kepada akta sedia ada akan memansuhkan sekatan kepada jumlah dan jenis kesatuan yang boleh dibentuk oleh mana-mana sektor, industri dan perdagangan, kata aktivis buruh dan ahli kesatuan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, ahli-ahli dalam Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) menyokong perubahan tersebut meskipun terdapat bantahan dari kesatuan lain.

Jumlah keahlian kesatuan yang sangat rendah di Malaysia adalah antara faktor kelembapan pertumbuhan kadar upah terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah.

Ketika ini, hanya 6% daripada 15 juta syarikat sektor awam dan swasta di Malaysia menjadi ahli kesatuan. Menurut aktivis buruh, daripada jumlah itu, 4% ahli bekerja di sektor awam dan badan berkanun.

Hanya 2% daripada 14 juta pekerja sektor swasata menyertai kesatuan, kata LLRC.

“Secara keseluruhannya, pindaan adalah progresif bagi kebajikan dan hak pekerja,” kata Pengerusi LLRC N Gopal Kishnan.

Pindaan yang dimaksudkan adalah  ke atas Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada sidang Parlimen kali ini.

Antara pindaan itu ialah membenarkan kesatuan dibentuk dalam mana-mana syarikat atau industri serta mengehadkan campur tangan kerajaan.

Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie BP Mammal berkata undang-undang sedia ada menetapkan hanya satu kesatuan boleh dibentuk untuk mewakili pekerja dalam industri tertentu seperti pekerja dalam sektor pengangkutan, industri besi dan automatif. 

Pindaan ini juga akan memansuhkan larangan ke atas kesatuan dalam industri produk elektrik dan elektronik yang wujud sejak 1970-an, tambah beliau.

“Undang-undang ini tidak pernah diperbaharui sejak 60 tahun lalu dan kerajaan sekarang nampaknya ikhlas untuk memindanya, yang akan memberi manfaat kepada kesatuan dan pekerja,” kata Shafie yang sudah empat puluh tahun menyertai kesatuan.

Pindaan undang-undang sedia ada juga akan mempercepatkan proses kes pemecatan salah dan pertikaian perjanjian kolektif di Mahkamah Industri.

Persaingan sihat

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MEF membantah cadangan pindaan tersebut dan menuduh Kementerian Sumber Manusia membentangkan pindaan tanpa berunding dengan mereka.

MTUC dilaporkan berkata pindaan untuk memberi kebebasan membentuk dan menyertai kesatuan akan mewujudkan persaingan antara kesatuan mendapatkan ahli.

Ini akan melemahkan pungutan suara golongan pekerja untuk menuntut kadar upah dan persekitaran kerja yang lebih baik dari majikan, kata kesatuan itu.

Menurut MTUC, secara teorinya, majikan boleh menubuh atau memilih kesatuan yang memenuhi kehendak mereka. 

Tetapi UNI-MLC and LLRC pula berkata kebebasan ini bermakna pekerja bebas memilih kesatuan mana yang terbaik untuk mewakili mereka. – 22 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen