Bersatu yakin bantu PH tawan Titiwangsa, Setiawangsa


Muzliza Mustafa

Parti Pribumi Bersatu Malaysia menerusi Pakatan Harapan yakin akan dapat menawan semua kerusi Parlimen di Kuala Lumpur termasuk dua kerusi dipegang BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 April, 2017.

WALAUPUN menjadi parti baharu dalam blok itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mereka akan dapat membantu Pakatan Harapan (PH) menawan semua kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat menang sembilan daripada 11 kerusi Parlimen di ibu negara. BN menang di Titiwangsa dan Setiawangsa.

Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani (BN) menewaskan calon PAS Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dengan majoriti 86 undi di Titiwangsa pada PRU 2013 sementara Ahmad Fauzi Zahari mengalahkan calon PKR Ibrahim Yaacob di Setiawangsa dengan 1,390 undi.

Kedua-dua kerusi itu ialah majoriti pengundi Melayu dengan Titiwangsa mempunyai 68% dan 56% di Setiawangsa pecahan kaum Melayu pada PRU13. Selain itu, Setiawangsa juga mempunyai bahagian jumlah undi pos yang besar daripada anggota Kementerian Pertahanan dan Pusat Latihan Polis.

Pengerusi Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Suhaimi Yahya berkata beliau yakin dua kerusi itu akan jatuh ke tangan PH.

“Pembangkang menang besar di beberapa kawasan Parlimen seperti Seputeh, Batu, Gombak, Bandar Tun Razak dan Segambut pada PRU lalu.

“Kami mahu menambah luka BN dengan mengambil alih Setiawangsa dan Titiwangsa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH Wilayah Persekutuan di Cheras pagi tadi.

Beliau berkata ramai ahli Umno di kawasan itu sudah pun bertukar kem, menyebabkan keyakinan Bersatu bertambah.

Suhaimi juga menyelar keputusan Menteri Kesejahteraan bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar kerana melupuskan kelulusan bagi projek majlis tempatan di kawasan Parlimen bukan BN kerana kekurangan dana.

“Menteri kata projek itu dilupuskan kerana kurang dana tetapi dalam Bajet sebelum ini menunjukkan jumlah besar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar hingga mencecah trilion ringgit,” katanya.

Katanya, pembatalan projek pihak berkuasa tempatan menunjukkan berlakunya pilih kasih.

“Dia sahkan apa yang kita sudah pun tahu dan membuatkan kerja pengundi lebih senang,” katanya.

Beliau berkata parti komponen dalam PH dinasihatkan supaya mengelak politik berdasarkan kaum dan agama menjelang PRU14.

“Memang mudah untuk memainkan elemen itu tetapi ia tidak bermoral,” katanya.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Naib Presiden DAP Teresa Kok dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Kira-kira 260 ahli parti di bawah PH menghadiri konvensyen itu untuk melancarkan jentera pilihan raya gabungan itu. – 23 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen