KERAJAAN negeri Pulau Pinang menolak beberapa permohonan oleh agensi persekutuan dan pemaju swasta untuk projek di kawasan tanah tinggi yang gagal mematuhi peraturan ketat negeri itu sejak pembangkang mengambil alih pada 2008.
Exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata rekod sejak 2008 menunjukkan kerajaan menolak 11 permohonan daripada sektor swasta kerana projek yang dicadangkan membabitkan kawasan tanah tinggi yang lebih tinggi 76m daripada aras laut.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menolak permohonan untuk perumahan di program persekutuan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) kerana agensi persekutuan “nampaknya tidak faham” dengan garis panduan ketat yang mengharamkan pembangunan di tanah tinggi.
“Sesetengah permohonan itu untuk projek melebihi 160 meter.
“Kami tidak akan luluskan projek seperti itu di Pulau Pinang, walaupun ia untuk program persekutuan,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan di Teluk Kumbar.
Jagdeep berkata sebelum 2008, projek seumpama itu diberikan kebenaran untuk dijalankan.
“Rekod kami menunjukkan sekurang-kurangnya 28 projek di tanah tinggi melebihi 76 meter diluluskan dan dibina ketika pentadbiran terdahulu, khususnya dari 1985 hingga 2008.
“Adakah rumah itu selamat didiami? Sudah jelas ia dihuni oleh ribuan penduduk selama ini dan kenyataan tidak bertanggungjawab mengenai betapa tidak selamatnya pembangunan seperti itu akan hanya mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Kerajaan negeri berulang kali dikecam oleh organisasi bukan kerajaan dan ahli politik Barisan Nasional sejak beberapa hari lalu selepas kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah pada Sabtu lalu.
Insiden di tapak pembinaan pangsapuri mampu milik setinggi 50 tingkat itu menyebabkan 10 pekerja warga asing maut dan seorang penyelia tapak rakyat Malaysia. Mayat mereka hanya berjaya dikeluarkan selepas tiga hari. Dua mayat terakhir ditemui semalam.
Kejadian tanah runtuh itu mencetuskan kembali bantahan terhadap pembangunan di tanah tinggi dan cerun, isu sensitif terutama bagi persatuan sivil.
Ada yang memberi amaran kepada kerajaan pimpinan DAP selama dua penggal itu, kemungkinan akan kehilangan sokongan pengundi jika tidak mahu mendengar kebimbangan rakyat berhubung isu pembangunan dan alam sekitar, seperti pembinaan di tanah tinggi.
Jagdeep berkata “pihak tidak bertanggungjawab” mengelirukan orang ramai dengan berkata projek Lembah Permai ialah pembangunan di kawasan cerun.
“Saya mahu tekankan dakwaan sesetengah pihak yang projek Tanjung Bungah itu di cerun, adalah tidak tepat, sebaliknya ia di tanah rata, kira-kira 40 meter daripada aras laut,” katanya. – 24 Oktober, 2017.
Komen