AHLI Parlimen Batu P Prabakaran tidak perlu letak jawatan untuk mengosongkan kerusi itu bagi membuka jalan kepada Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua bertanding dalam pilihan raya kecil, kata parti.
Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi menerima makluman daripada Tian Chua sendiri mengenai kedudukan kerusi Parlimen Batu, kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
“Tian Chua ada dalam mesyuarat tadi dan kita tanya beliau mengenai perkara itu.
“Apa yang dimaklumkan pada kita, tidak ada desakan untuk sesiapa pun meletak jawatan,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat selesai malam tadi.
Kedudukan Prabakaran dan kerusi Parlimen Batu jadi perhatian selepas mahkamah minggu lalu memutuskan Chua sebenarnya tidak hilang kelayakan bertanding pilihan raya.
Susulan keputusan mahkamah itu, 14 badan masyarakat yang bergiat di kawasan Batu mendesak Prabakaran letak jawatan bagi membuka jalan kepada Chua diangkat sebagai ahli Parlimen.
Chua sebelum ini menafikan beliau ada kaitan dengan 14 badan masyarakat itu.
Prabakaran juga menegaskan tiada sebab untuk beliau letak jawatan separuh penggal sebelum mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat tidak dipenuhi.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi tidak membincangkan cadangan Dr Mahathir Mohamad mahu merombak kabinet.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Parti tidak berbincang perkara ini secara spesifik saya percaya ia akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden,” katanya. – 20 November, 2019
Komen