Rakaman CCTV tak jelas tunjuk Doan, Siti masuk tandas, kata peguam


Bede Hong

Warga Indonesia Siti Aisyah yang didakwa membunuh warga Korea Utara Kim Jong-nam terpaksa menggunakan kerusi roda kerana kepenatan berikutan jaket kalis peluru dipakainya berat dalam lawatan hampir 3 jam ke klia2 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Oktober, 2017.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 tidak menunjukkan dengan jelas dua wanita yang dituduh membunuh Kim Jong-nam masuk ke dalam tandas, kata peguam, susulan lawatan ke lapangan terbang itu awal hari ini, dan ia mendedahkan ada lebih banyak tandas daripada yang diberitahu kepada mahkamah sebelum ini.

Pendakwa, peguam bela dan Hakim Azmi Ariffin melawat tempat kejadian pembunuhan itu di klia2 hari ini untuk melihat kembali laluan diambil kedua-dua tertuduh, warga Vietnam Doan Thi Huong dan Siti Aisyah dari Indonesia – serta mangsa Jong-nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Jong-nam maut selepas terdedah kepada agen sara VX pada 13 Februari.

Sepanjang lawatan itu yang mengambil masa lebih dua jam, 300 anggota keselamatan termasuk 200 anggota pasukan petugas khas jenayah terancang Bukit Aman mengawal ketat sesi lawatan itu yang turut disertai oleh Doan, 28 dan Siti, 25.

Ketua peguam bela untuk Siti, Gooi Soon Seng memberitahu wartawan bahawa lawatan itu, yang diketuai pegawai penyiasat Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, mendedahkan sebenarnya ada lebih banyak tandas di situ.

“Kami ke dua kawasan tandas di mana mereka dikatakan mencuci tangan daripada bahan kimia. Kedua-duanya di tingkat dua.

“Daripada kamera video, tidak begitu jelas lokasi sebenar,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah peguam Doan, Naran Singh dan Hisyam Teh Poh Teik.

“Kami perlu mengenal pasti laluan sebenar yang diambil dan kami juga mahu mengetahui berapa banyak tandas di tingkat 3 (di klia2),” kata Gooi.

“Ada banyak kawasan yang tidak diletakkan CCTV. Sekurang-kurangnya kami berpeluang untuk mencatat berapa jumlah tandas di tingkat 3, dan jumlah CCTV yang ada,” katanya, menambah, kumpulan itu turut melawat bilik kawalan CCTV lapangan terbang itu.

Terdapat empat tandas di tingkat 3, di mana balai berlepas terletak, empat di tingkat 2, dan dua lagi tandas di tingkat 2M.

Pada perbicaraan di mahkamah, Doan dan Siti diberitahu pergi ke tandas di tingkat 2. Rakaman CCTV menunjukkan Doan memegang tangannya ke atas dan berjalan dengan cepat.

Pendakwa berkata mereka membasuh tangan masing-masing daripada agen saraf VX.

“Daripada CCTV itu, kita hanya boleh nampak laluan menuju ke tandas,” kata Gooi.

“Bagi Siti pula, tidak ada rakaman CCTV menunjukkan dia masuk ke tandas. Jadi, sekurang-kurangnya kami perlu lihat sendiri laluan itu dan memastikan adakah ia menuju ke tempat lain.

“Dan kenapa kamera itu hanya dapat menunjukkan dia meninggalkan laluan tertentu tetapi tidak tunjuk dia masuk ke laluan berkenaan.”

Lawatan hari ini juga melihat laluan diambil oleh Jong-nam, dari masa dia tiba di balai ketibaan hingga ke mesin mendaftar masuk layan diri, di mana mukanya disapu dengan bahan kimia itu.

Mereka kemudiannya ke Klinik Perubatan Menara, yang berada di Tingkat 2, klia2, di mana Jong-nam mendapatkan rawatan selepas dipercayai disapu dengan racun itu sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.

Doan dan Siti kedua-duanya dibawa menaiki kerusi roda.

“Mereka perlu memakai jaket kalis peluru, yang agak berat untuk mereka,” kata Gooi.

“Dan kita berjalan hampir tiga jam, ia agak memenatkan untuk mereka. Jadi saya minta kerusi roda.”

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwa berkata lawatan hari ini memberi gambaran lebih jelas tentang kejadian itu.

“Tujuan lawatan itu terutama bagi mahkamah, untuk kita lebih memahami susun atur klia2, tentang kes itu, terutama laluan diambil tertuduh, mangsa dan semuanya.

“Selama ini kita hanya lihat rakaman CCTV, dan hari ini kita di sini melihat fakta sebenar, di mana semua lokasi itu.”

Kedua-dua wanita warga asing itu didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam di klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen