MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap Bajet 2018 yang dibentang Jumaat ini akan memperkenalkan cukai kekayaan dan cukai warisan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui pengagihan kekayaan yang lebih saksama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata cukai untuk golongan terlalu kaya itu akan menggalakkan pengagihan kekayaan yang lebih seimbang dalam kalangan rakyat.
“Mekanisma ini bukan untuk menyerang golongan kaya. Realitinya keadaan ekonomi mencabar.
“Apa yang kami cadangkan ini ialah mencukai orang yang boleh dicukai, yang mampu dicukai dan tak akan papa kedana kalau dicukai,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Dua cukai baru itu adalah antara lima cadangan dan harapan MTEM pada Bajet 2018 ini.
Ahmad Yazid bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci berapa peratus cukai yang harus dikenakan terhadap golongan kaya tersebut.
Cukai paling tinggi yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekarang ialah 28% iaitu bagi pendapatan melebihi RM1 juta setahun.
Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani baru-baru ini menafikan cukai warisan akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2018 selepas tersebar maklumat di media sosial mengenai perkara itu, memetik maklumat kononnya daripada Kumpulan CIMB Holdings Berhad. CIMB kemudian membuat satu kenyataan menafikan pihaknya sumber maklumat itu.
Dalam pada itu, Felo Kanan MTEM Azlan Awang berharap cukai warisan itu akan diperkenalkan pada pembentangan belanjawan kali ini.
Cukai warisan ialah cukai yang dikenakan apabila seseorang individu menerima warisan harta daripada keluarga.
“Kerajaan perlu fikirkan bagaimana boleh ambil untuk dapat pendapatan bantu rakyat,” katanya lagi.
Selain dua cukai baru itu, MTEM turut mendesak cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan ke atas industri pertanian seperti pembuatan baja dan racun yang digunakan untuk tanaman padi.
“Ini kerana input-input pertanian ini digunakan untuk menghasilkan bekalan makanan negara. Dengan adanya GST, kos bertani akan meningkat,” katanya.
Tiga lagi syor MTEM ialah menggesa kerajaan memperketatkan dasar kemasukan pekerja asing, menguatkuasakan gaji minimum RM1,800 dan mengawal pelaburan asing. – 24 Oktober, 2017.
Komen