Bantuan untuk Orang Asli Gua Musang tiba minggu ini


Noel Achariam

Jakoa dan kumpulan masyarakat sivil sedang kumpul bantuan untuk 130 keluarga dari tiga kampung yang terputus akses jalan utama kerana banjir susulan hujan berterusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

AKHIRNYA bantuan mencurah-curah tiba minggu ini untuk Orang Asli di Pos Simpor, Kelantan, selepas penderitaan dialami mereka akibat tanaman dimusnahkan gajah liar dan banjir didedahkan.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) dan kumpulan masyarakat sivil sedang mengumpulkan bantuan untuk 130 keluarga dari tiga kampung yang terputus akses jalan masuk utama kerana banjir susulan hujan berterusan.

Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo memberitahu The Malaysian Insight, jabatan itu merancang untuk menyerahkan bantuan dalam minggu ini.

“Kami sedang berusaha mendapatkan dana kecemasan untuk Orang Asli dan kami berharap dapat menyelesaikan isu ini dalam minggu ini,” katanya.

Aktivis tempatan dan masyarakat Orang Asli Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah juga berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan menghubungi beliau dengan tawaran bantuan.

“Satu NGO dari Perak mengesahkan akan datang Sabtu ini dengan bantuan.

“Kami bukan meminta bantuan kebajikan, tetapi kami mahu kerajaan dan rakyat Malaysia mengetahui semua ini disebabkan oleh pembalakan dan pembangunan.

“Ia menyebabkan gajah menceroboh tanah kami dan memakan tanaman. Kami hanya mahu menunjukkan apa yang sedang kami hadapi,” kata Syafiq kepada The Malaysian Insight.

Aktivis tempatan dan masyarakat Orang Asli Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan menghubungi beliau dengan tawaran bantuan. – Gambar The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

Perkampungan Orang Asli di Pos Simpor diceroboh oleh kumpulan gajah liar dua minggu lalu. Penduduk menyalahkan pembalakan di kawasan itu kerana menyebabkan kekurangan makanan habitat semula jadi haiwan.

Gajah liar memusnahkan tanaman dan sayuran penduduk kampung serta infrastruktur bekalan air.

Hujan yang berterusan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan keadaan hidup lebih buruk, menjadikan jalan tanah yang menghubungkan antara kampung berlumpur.

Orang Asli sukar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan kerana motosikal sering tersekat dalam lumpur.

Jakoa semalam berkata ia sedang berbincang dengan Jabatan Hidupan Liar untuk mengambil tindakan terhadap konflik manusia-gajah, dan Syafiq berkata penduduk kampung berharap ia dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau mencadangkan penggunaan pagar elektrik berhampiran tiga sungai, yang sering menjadi tempat Orang Asli memancing.

“Disebabkan pembangunan, haiwan kini berkeliaran berhampiran sungai dan kami tidak boleh memancing,” katanya.

Keluarga yang terjejas berasal dari tiga kampung - Kampung Jader, Kampung Penad dan Kampung Sedal.

Jakoa juga berkata sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang, jalan antara kampung Orang Asli di Gua Musang akan ditambah baik melalui program pembangunan untuk semua kampung di kawasan itu, yang dijangka siap pada 2023.

Orang Asli menyalahkan pembalakan kerana ia menjejaskan habitat haiwan liar sehingga memaksa ia menceroboh kampung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

Orang Asli di Gua Musang berusaha menghalang pembalak dan syarikat peladangan sejak setahun lalu, membina sekatan yang kemudiannya dirobohkan oleh pihak berkuasa negeri.

Kelantan mengeluarkan permit untuk pembersihan tanah dan perladangan selepas mengisytiharkan ia tanah milik negeri kerana konsep “tanah adat” tidak wujud dalam perlembagaan negeri. Hal ehwal tanah adalah berdasarkan undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan persekutuan memfailkan saman terhadap Kelantan dan lima syarikat swasta kerana menceroboh tanah Orang Asli.

Kerajaan Kelantan kini membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen