Siasatan kes Adib, saksi akan diuji guna alat pengesan bohong


Alfian Z.M. Tahir

Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

POLIS telah mendapat imej baharu beberapa individu yang berada di lokasi kejadian ketika anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diserang oleh orang ramai semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Huzir Mohamed berkata polis akan mengenal pasti beberapa individu yang berada di kuil ketika jenayah itu berlaku.

“Kami akan buat tindakan susulan dan jika mereka tidak dijumpai, kami akan minta media untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata mereka juga akan memanggil tujuh saksi utama yang telah memberi keterangan dalam inkues kematian Adib dan ada yang perlu diuji menggunakan alat pengesan bohong.

Inkues itu membuat kesimpulan bahawa Adib mati akibat trauma kekerasan tumpul di bahagian dada.

“Kami akan menghubungi beberapa saksi lagi termasuk tujuh orang yang telah memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

“Kami akan menggunakan mesin polygraph atau pengesan kebohongan kali ini. Tujuh lelaki ini berada di lokasi kejadian jenayah ketika ia berlaku.

“Kami juga berharap dapat merakam kenyataan daripada ahli patologi forensik yang berpangkalan di UK Profesor Dr Shahrom Abd Wahid dan pensyarah kanan kejuruteraan mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Amir Radzi Ab Ghani,” katanya kepada media dalam sidang akhbar petang ini.

Dr Sharom memberitahu inkues sebelum ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan penemuan yang mencadangkan kecederaan di dada Adib disebabkan dadanya dilanggar oleh sebuah trak bomba.

Dr Sharom berkata ia lebih kemungkinan ahli bomba itu telah ditarik keluar dari kenderaan dan dipukul.

Amir Radzi seorang pakar psikologi memberi keterangan sebagai sokongan kepada kenyataan Sharom tentang kesan pukulan yang menyebabkan kecederaan Adib.

Pada September Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib disebabkan hasil perbuatan jenayah.

Koroner Rofiah Mohamad berkata trauma tumpul di bahagian dada tidak disebabkan oleh kemalangan tetapi oleh dua atau tiga orang yang menyeretnya keluar dari kenderaan.

Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam USJ 25 Subang Jaya.  – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen