SIASATAN kematian bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock dipergiatkan lagi minggu lalu walaupun tiga pasukan khas polis sebelum ini tidak menemukan sebarang elemen jenayah dalam kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed hari ini berkata, polis telah merekodkan keterangan tujuh individu minggu lalu, dan menambah dua daripadanya adalah saksi baharu manakala lima yang lain disoal siasat sebelum ini.
“Kami telah menyoal siasat tujuh saksi minggu lalu. Kami telah mengenal pasti 14 yang lain dan akan dipanggil tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
“Ini termasuklah pegawai anti rasuah, bekas pekerja dan rakan si mati.
“Di pihak kami, kami telah menubuhkan tiga pasukan khas sebelum ini.
“Salah satu diketuai Rusdi Mat Isa yang kini pengarah JSJ Kuala Lumpur, Amar Singh yang sudah bersara dan Manoharan juga sudah bersara.”
Huzir berkata ketiga-tiga pasukan khas berkenaan tidak menemukan sebarang elemen jenayah dalam kemaian Teoh dan hasil siasatan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata pihak berkenaan telah mengembalikan fail dengan status “NFA” (tiada tindakan lanjut).
Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemukan mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas mendiang disoal siasat oleh pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri Selangor di pejabat mereka yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.
Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat kesimpulan bahawa kematian Teoh berpunca daripada bunuh diri kerana cara soal siasat agresif yang digunakan oleh pegawai anti rasuah.
Minggu lalu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin berkata, polis telah mengambil keterangan daripada lima individu, termasuk Ean Yong Hian Wah yang merupakan Adun Seri Kembangan.
Tambahnya, polis turut merekodkan keterangan daripada bekas Adun Kota Alam Shah M. Manoharan.
Pada Julai, Peguam Negara Tommy Thomas berkata tiada bukti yang mencukupi untuk pertuduhan bunuh dalam kes kematian Teoh namun mengarahkan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap kes kematian Beng Hock mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
Peguam yang mewakili keluarga Teoh Ramkarpal Singh tidak gembira dengan pengklasifikasian semula itu dan menggesa Peguam Negara menjelaskan mengapa kes berkenaan kini disiasat kerana kurungan salah walaupun terdapat elemen homisid dalam kemaian Teoh ketika ditahan oleh pegawai SPRM.– 20 November, 2019.
Komen