JABATAN Alam Sekitar (JAS) tidak meminta Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek pangsapuri mampu milik di Tanjung Bungah di mana berlakunya kejadian tanah runtuh, kata kerajaan Pulau Pinang.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan patuh jika EIA diminta.
“Kami negeri yang patuh kepada undang-undang. Jika ada EIA, kami akan ikutinya dan patuh undang-undang. Dalam kes ini, tiada permintaan untuk EIA. Biar kami jelaskan.
“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga mengikuti semua peraturan dan keperluan (berkaitan projek itu),” katanya pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lorong Lembah Permai 3 pagi Sabtu lalu telah meragut 10 nyawa pekerja asing dan seorang penyelia tapak tempatan.
Pasukan penyelamat mengambil masa selama 3 hari untuk mengeluarkan mayat yang tertimbus di tapak pembinaan yang terletak di di bawah bukit. Dua mayat terakhir ditemui pagi semalam.
Pada Ahad malam, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, JAS pada 2015 telah menolak permohonan pemaju, Taman Sri Bunga Sdn Bhd untuk kebenaran pembinaan kerana ia terlalu dekat dengan kuari tetap.
Kementerian menyalahkan kerajaan negeri di atas “kurang pemantauan” terhadap projek itu serta mempersoalkan mengapa tidak campur tangan dalam pembangunan apabila ia bermula.
Sejak kejadian itu, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dikritik oleh kumpulan masyarakat awam, persatuan penduduk dan Barisan Nasional (BN) yang telah menentang pembangunan di tanah bukit.
Ada yang memberi amaran kepada kerajaan pimpinan DAP itu yang ia akan kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya tidak mendengar kebimbangan dan keprihatinan mengenai isu-isu pembangunan, yang menjejaskan bukit di Pulau Pinang dan sensitif kepada banyak organisasi bukan kerajaan.
Exco kerajaan tempatan Chow Kon Yeow berkata JAS tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi membuat keputusan mengenai permohonan merancang kerana ia terletak di bawah kuasa majlis-majlis tempatan.
Dia juga berkata bantahan JAS hanya terhadap projek pangsapuri mampu milik 50 tingkat yang dicadangkan di tapak projek itu kerana ia hampir dengan kuari tetap.
Chow berkata jabatan itu bimbang kepada kekurangan zon penampan 500m antara tapak pangsapuri dengan kuari, tetapi jarak sebenar di antara tapak pembinaan dengan titik leupan kuari adalah lebih jauh pada 714.5 m.
“JAS tiada bantahan terhadap dua projek terdahulu di kawasan itu yang dekat dengan kuari, yang letaknya dalam jarak 500m yang diperlukan.
“Kami juga mahu menegaskan yang Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) tiada bantahan terhadap projek itu. Jabatan ini mempunyai kepakaran dalam geologi, pemadatan tanah dan lain-lain.
“JAS menguruskan perkara seperti jarak tapak pembinaan, pencemaran bunyi dan debu, tetapi bukan masalah teknikal seperti JMG,” katanya.
Chow juga menegaskan sekali lagi yang projek pangsapuri itu diluluskan kerana tapaknya terletak di atas tanah rata, bukan di atas bukit seperti yang didakwa oleh pihak yang mengkritik kerjaan negeri.
Di Pulau Pinang, pembangunan atas bukit 76m di atas paras laut dengan cerun 25 darjah adalah dilarang.
Tapak di mana runtuhan berlaku hanya pada 18-40m atas paras laut dengan cerun kurang dari 20 darjah.
“MBPP hanya meluluskan projek pangsapuri setelah mempertimbangkan ulasan dari pelbagai jabatan teknikal dalaman dan luaran,” katanya.
Chow juga menegaskan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan mungkin disebabkan oleh kecuaian atau kurang pengurusan teknikal. Tambahnya lagi, laporan polis dibuat semalam bagi membolehkan polis menyiasat kejadian itu. – 24 Oktober, 2017.
Komen