PENGANALISIS percaya komplot diusahakan menteri PKR Azmin Ali dan bekas menteri Umno Hishammuddin Hussein hanyalah untuk menjamin kelangsungan politik pemimpin berkenaan.
Kedua-duanya mungkin tiada masa depan apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad seperti dipersetujui Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.
Ini kerana Azmin yang juga timbalan presiden PKR diketahui bermasalah dengan Anwar dan Hishammuddin pula tiada jawatan lagi dalam Umno sejak BN tewas pilihan raya umum tahun lalu.
Pertemuan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang dan PKR pada Isnin malam anjuran Azmin dan Hishammuddin itu menimbulkan semula spekulasi berhubung usaha menyekat Anwar menjadi perdana menteri kelapan.
Namun penganalisis memberi amaran komplot untuk membentuk kerajaan yang tidak melalui proses pilihan raya amat berbahaya kepada negara.
Apa saja percaturan untuk membentuk kerajaan menggunakan pintu belakang akan mengakibatkan rakyat menjadi mangsa, kata seorang pengkaji Universiti Utara Malaysia.
Walaupun sukar untuk dilakukan mana-mana pihak, ia tetap berbahaya kerana menafikan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya, kata Azizuddin Sani kepada The Malaysian Insight.
“Sebenarnya mereka menafikan mandat rakyat, kalau nak tukar kerajaan kena adakan pilihan rayalah.
“(Gerakan) ini nampak lebih kepada kelangsungan politik, mereka takut apabila Anwar naik (jadi perdana menteri) mereka tiada tempat dalam kerajaan, walaupun dalam politik tanah air mungkin mereka masih ada peluang,” katanya.

Seramai 22 ahli Parlimen PKR dan BN termasuk Hishammuddin bertemu di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya pada Isnin malam di Putrajaya.
Pertemuan selama dua jam itu didakwa berkaitan dengan usaha memastikan Dr Mahathir kekal mengetuai kerajaan.
Ia ekoran tekanan yang timbul agar Dr Mahathir meletak jawatan susulan prestasi buruk parti kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sehari sebelumnya.
Kekalahan dengan majoriti 15,000 itu tidak dijangka sama sekali dan dilihat sebagai penolakan rakyat ke atas pentadbiran PH yang baru mencecah 18 bulan.
Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno sudah lama dikaitkan usaha membawa ahli Parlimen Umno menyertai PH, yang dinafikan ahli Parlimen Sembrong itu.
Azmin sekadar menyatakan acara Isnin malam itu hanyalah “pertemuan biasa” dan seorang lagi yang hadir, Kamaruddin Jaafar menafikan ia untuk menghalang tekanan agar Dr Mahathir meletak jawatan.
Namun Azizuddin percaya komplot Azmin dan Hishammuddin itu berkait dengan cita-cita politik pemimpin berkenaan, namun masih tidak mendapat sambutan.
“Inilah masa untuk Azmin dan Hishammuddin menggerakkan strategi menamatkan perancangan Anwar dan DAP, dibantu pula dengan keputusan PRK Tanjung Piai yang semakin jelas menolak PH.
“Tapi saya rasa ia akan berbalik kepada isu angka, mereka tidak ada angka nak buat kerajaan pintu belakang.
“Tidak akan pihak dapat angka tepat untuk sokong gerakan ini atau (memihak kepada) Anwar, kecuali dengan membuat akuan bersumpah,” katanya.

Beliau sangsi jika ada ahli Parlimen yang berani menandatangani akuan bersumpah untuk membentuk kerajaan lain.
Azizuddin juga yakin usaha seperti itu akan menemui kegagalan kerana Azmin dan Hishammuddin sukar mendapat sokongan daripada gabungan parti politik Sabah dan Sarawak.
“Peluang mereka tak nampak untuk bentuk kerajaan di luar ini tapi politik berubah pantas, ikut dinamik semasa tetapi selagi tiada angka memang susah nak ada agenda lain,” katanya.
Beliau juga memberi amaran langkah seperti itu akan ditentang oleh rakyat walaupun tidak salah daripada segi politik
“Kena ingat, kalau berlaku perang, rusuhan, atau ketidakstabilan politik, rakyat akan jadi mangsa, untuk itu kena beringatlah,” kata Azizuddin.
Seorang pensyarah Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub juga berpendapat pertemuan itu sebagai usaha berterusan untuk menggagalkan hasrat Anwar menjadi perdana menteri kelapan.
Beliau melihat, strategi politik yang sedang disusun pada waktu ini mencakupi kelangsungan politik yang lebih besar melibatkan orang Melayu, gelombang Anwar dan kuasa blok tertentu dalam PH.
Sekiranya membuahkan hasil, ia akan memberi pulangan besar buat Azmin dan Hishammuddin yang sudah menikmati laba politik sebagai menteri dan bekas menteri, katanya.
“Saya yakin ada satu gabungan politik baru yang terasnya dominan Melayu dan Dr Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri menerusi gabungan politik baru berkenaan.
“Ini jelas merupakan titik penamat bagi menghalang Anwar sebagai perdana menteri,” katanya.
Selain sebahagian ahli Parlimen Umno itu, kerajaan pintu belakang itu juga mungkin disertai orang PAS, pasukan Azmin, Bersatu, Warisan, dan Gabungan Parti Sarawak, kata Tawfik.
PKR yang dipimpin Azmin sendiri khuatir jika komplot sedemikian akan memudaratkan timbalan presiden mereka dan juga Hishammuddin.
“Jika (perjumpaan itu) percubaan nak selamat karier politik mereka maka ia akan beri kesan buruk pada mereka,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempersoalkan tujuan sebenar perjumpaan berkenaan kerana sedangkan BN menang bergaya di PRK Parlimen Tanjung Piai.
“Kenapa mereka hadiri selepas PRK walhal (keputusan) memberi isyarat cukup jelas?” soalnya.
Kalangan ahli Parlimen BN pula mengesyaki wakil rakyat yang terlibat dengan usaha tersebut hanya ingin melepaskan diri daripada masalah masing-masing.
Bekas setiausaha agung BN Nazri Aziz juga berpendapat demikian kerana melihat pertemuan itu dibuat secara rahsia dan diatur oleh pemimpin yang tidak diberi kuasa oleh parti.
“Dalam mesyuarat (di rumah) kita tak tahu apa benda (dibincangkan), kalau Hishammuddin bawa jumpa pun beliau bukan presiden parti.
“Hishammuddin dengan Azmin kalau nak gabung kena parti yang buat keputusan, (Hishammuddin) bukan pemimpin dalam parti.
“Atas jawatan apa beliau panggil ahli Parlimen BN pergi jumpa Azmin? Ini mesti ada benda nak lepas tengkuk,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight. – 20 November, 2019.
Komen