“BETTER Beer Festival” dibatalkan atas faktor keselamatan rakyat kerana hasil maklumat awal membuktikan terdapat ancaman pengganas jika festival itu berlangsung, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Memandangkan ada maklumat itulah yang membuatkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun membatalkan festival itu.
“Beliau sudah tahu mengenai ancaman itu. Kami tak buta warna. Apa yang kita buat untuk kebaikan semua,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang bertanya adakah kerajaan telah mengenal pasti “pengganas” yang telah menyebabkan festival bir itu dibatalkan.
Berhubungan penahanan suspek, Zahid berkata mereka telahpun menahan suspek dan pihak berkuasa sedang menyiasat segala maklumat berkaitan.
Pada 17 Oktober lalu Mohamad Fuzi mengumumkan penahanan tiga orang termasuk seorang pembuat bom remaja.
Penahanan itu dibuat seminggu sebelum tarikh yang dirancang penganjur, langsung memmbuktikan bahawa ancaman terhadap acara itu benar.
“Better Beer Festival” sepatutnya berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Publika Shopping Gallery dengan penyertaan seramai 250 pembuat bir daripada 43 pembuat bir seluruh dunia.
Remaja itu dan dua lagi suspek ditahan di Pasir Puteh, Kelantan.
Antara barang yang dirampas adalah alat dan perkakas untuk membuat bom dan peledak yang telah diubah suai (IED).
IED itu dipercayai dihasilkan oleh remaja berumur 19 tahun itu, yang mana jika diaktifkan mampu membunuh sesiapa sahaja dala radius antara 20 hingga 30 meter.
Laporan risikan mendedahkan remaja itu adalah di antara tiga individu yang ditangkap pada minggu lalu yang merancang untuk melakukan serangan terhadap acara Better Beer Festival yang dibatalkan di Kuala Lumpur bulan ini.
Fuzi berkata tangkapan itu adalah hasil usaha perisikan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit selepas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyelar acara itu, dan memanggilnya sebagai “pesta maksiat” serta mendakwa ia akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai “pusat maksiat terbesar di Asia”.
Polis juga kemudian mengeluarkan satu kenyataan bahawa acara itu menerima ancaman keganasan jika ia diteruskan.
Sebelum penangkapan ini, polis turut menangkap lapan individu lain atas dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan.
Mereka teridiri daripada empat warga tempatan, tiga Filipina dan seorang warga Albania.
Seorang dari tiga warga Filipina itu dikatakan mempunyai status penduduk tetap disini.
Pada 5 September, Fuzi mengumumkan penangkapan 19 lelaki yang disyaki mempunyai hubungan aktif dengan IS. Beberapa orang daripadanya merancang untuk menyerang majlis penutup Sukan SEA 2017 pada 30 Ogos dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 keesokan harinya.
Suspek termasuk 11 warga asing dari Bangladesh, Maldives, Iraq, Palestin, Indonesia dan Filipina.
Beberapa orang dari mereka terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembunuhan pengganas, juga aktiviti tempur lain dengan IS atau sekutunya. – 24 Oktober, 2017
Komen