Putrajaya belanja lebih RM2 bilion setahun bagi sekolah kurang murid


Yasmin Ramlan

Putrajaya membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk mengendalikan Sekolah Kurang Murid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

PUTRAJAYA membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk mengendalikan operasi sejumlah 2,996 Sekolah Kurang Murid (SKM) di negara ini, kata Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid.

Kos pengoperasian SKM tinggi berbanding sekolah biasa yang menelan kos sebanyak RM61,808.81 bagi setiap murid dalam setahun, tambahnya.

“Tinjauan analisis kos pengoperasian SKM, mendapati kos pengoperasian sekolah yang mempunyai enrolmen murid 150 dan ke bawah adalah tinggi iaitu RM67,130.65 bagi setiap murid untuk setahun berbanding hanya RM5,321.84 setiap murid setahun untuk sekolah biasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Mahdzir berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Lipis yang meminta menteri pendidikan itu menyatakan langkah jangka panjang dan pendek bagi menguruskan SKM di seluruh negara, sekaligus mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta megelakkan pembaziran.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM, sehingga hari ini berdasarkan kriteria utama penggabungan iaitu sekolah sama aliran dan tidak menimbulkan implikasi penambahan bilik darjah atau penjawatan.

“Suka saya tegaskan di sini bahawa dasar KPM adalah jelas, iaitu SKM tidak akan ditutup atau (masalah) murid tidak akan disuarakan sehingga mendapat persetujuan ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Berdasarkan data pada 31 Mac 2016, terdapat 2,996 buah sekolah rendah yang dikenali sebagai SKM, dengan Sekolah Kebangsaan (SK) 2,058 buah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 578 buah sekolah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 360 buah sekolah. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen