Pertemuan dengan Azmin hanya bincang soal ekonomi, kata Maria Chin


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata mereka mengadakan perbincangan biasa tentang dasar ekonomi dan tidak berkaitan dengan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2019.

PERTEMUAN antara beberapa wakil rakyat PKR dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali adalah untuk membincangkan dasar ekonomi negara sahaja, kata Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata mereka mengadakan perbincangan biasa tentang dasar ekonomi dan tidak berkaitan dengan PKR.

“Sudah pasti ia politik tetapi ia bukan soal parti,” katanya.

Maria menjelaskan pertemuan itu dibuat secara tertutup dan beliau tidak dapat mengesahkan siapa yang menghadirinya.

“Lebih baik awak tanya Azmin. Ia pertemuan tertutup tentang dasar ekonomi. Jadi, bukan hak saya untuk beritahu siapa di sana,” katanya kepada wartawan.

Maria berkata perbincangan itu berkisar tentang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan beberapa soalan ditanyanya dalam sidang Parlimen, pagi tadi.

Apabila ditanya berapa lama pertemuan berlangsung, Maria berkata beliau tidak ingat.

Selepas mencetuskan kontroversi apabila mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang di kediaman rasminya malam semalam, Azman sekali lagi menjadi tumpuan apabila mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat partinya hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu dilihat memasuki bangunan Parlimen pada jam 2.40 petang, sebelum masuk ke biliknya.

Pada jam 3 petang, Azmin dilihat berada di kawasan Parlimen, beberapa orang wartawan kemudian mendapati beberapa wakil rakyat PKR turut memasuki Parlimen.

Selain Maria, antara yang hadir ialah Edmund Santhara (Segamat), Mansor Othman(Nibong Tebal), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat). 

Azmin berkata setiap pertemuannya sentiasa menarik tumpuan ramai.

“Bila saya jumpa wakil rakyat Umno, awak marah. Bila saya jumpa wakil rakyat PKR, awak marah juga. Tak tahu nak jumpa siapa, tetapi jumpa media boleh,” katanya kepada wartawan. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen