ANWAR Ibrahim berkata beliau tidak tahu menahu tentang pertemuan antara Mohamaed Azmin Ali dan wakil rakyat PKR di Parlimen hari ini.
Bercakap kepada wartawan di Sepang, presiden PKR itu berkata beliau tidak menerima sebarang jemputan untuk hadir pada majlis anjuran timbalannya itu.
“Saya tak tahu. Saya tak dijemput,” kata Anwar ringkas sebelum meninggalkan Konvensyen Ulama Multaqa Asia Tenggara 2019.
Azmin dilaporkan sedang mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat PKR, sekarang.
Awal hari ini, Azmin mengesahkan pertemuannya dengan wakil rakyat Barisan Nasional malam tadi yang dianggapnya perkara biasa.
Beliau turut mengesahkan akan bertemu wakil rakyat PKR hari ini.
Pertemuan itu adalah yang kedua dibuat antara timbalan presiden PKR itu dengan wakil rakyat partinya, walaupun beliau enggan mengulas topik perbincangannya.
Azmin hari ini juga menafikan pertemuan malam tadi dengan wakil rakyat pembangkang adalah untuk memujuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terus mentadbir negara selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan di Tanjung Piai, hujung minggu lalu.
Jelasnya, selaku menteri, beliau berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dan kerana itu tiada sebab untuk mewujudkan spekulasi tentang pertemuannya dengan wakil rakyat pembangkang malam tadi.
“Hanya perjumpaan biasa dan kami tak buat apa-apa luar biasa,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini. – 19 November, 2019.
Komen