KERAJAAN Pulau Pinang mengecam kumpulan masyarakat sivil kerana “keangkuhan” mereka menuntut pentadbiran yang diterajui DAP berundur susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 11 nyawa.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy berkata walaupun siasatan belum mendedahkan punca tragedi, kumpulan itu telah membuat kesimpulan yang kerajaan negeri bertanggungjawab dan harus disingkirkan.
“Mereka dengan berani dan angkuh memberi amaran kepada kerajaan Pulau Pinang kerana mengabaikan tugas terhadap rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Jika Forum Pulau Pinang, salah satu daripada kumpulan NGO di negeri ini, mahu mengadakan dialog serius dengan kerajaan negeri mengenai isu-isu berkaitan pembangunan lereng bukit, maka dialog tersebut tidak boleh diadakan dengan paksaan.
“Dengan kata lain, ahli-ahli Forum Pulau Pinang tidak boleh mengadakan dialog tetapi pada masa sama mahu menyingkirkan kerajaan negeri Pulau Pinang.”
Anggota masyarakat sivil di Pulau Pinang telah memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ia kehilangan sokongan jika terus membenarkan pembangunan di atas bukit, berikutan insiden Sabtu lalu.
Ramasamy berkata, beberapa ahli masyarakat sivil mengalami “penyakit politik yang aneh”.
“Peranan NGO sangat dihargai dalam proses yang panjang untuk mencapai keseimbangan dan kemampanan dalam pembangunan.
“Sekalipun pegawai negeri berasa sukar menerima kritikan mereka, tetapi ini semua diterima secara optimis.
“Malangnya simbiosis antara beberapa NGO alam sekitar dan kerajaan negeri mungkin tidak kekal lama,” katanya, merujuk kepada bagaimana beberapa NGO bertindak untuk menghapuskan ketua menteri dan kerajaan negeri kerana mengkhianati kepercayaan orang ramai.
Ramasamy berkata jika pertubuhan NGO itu serius ingin menukar pentadbiran negeri, mereka harus mempertimbangkan untuk memasuki politik.
“Mereka harus keluar dari zon neutral selesa untuk membentuk parti politik atau gabungan bagi memulakan kempen bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Mungkin mereka harus serius memikirkan untuk membentuk pakatan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyingkir kerajaan PH. Memandangkan ada persamaan antara NGO dan parti komponen BN, gabungan itu akan memberi menjadikan ia satu formaliti,” kata pemimpin DAP itu.
Ramasamy mengakui NGO yang menggesa larang sepenuhnya pembangunan di kawasan berbukit dan sensitif di Pulau Pinang, telah sekian lama mengkritik kerajaan kerana tidak cukup tegas melarang projek pembangunan di kawasan bukit.
Beliau berkata kumpulan itu juga berpendapat garis panduan sedia ada yang dikenakan oleh agensi kerajaan dan mekanisme pemantauan tidak mencukupi untuk pembangunan lereng bukit.
Kerajaan negeri berulang kali berkata sejak beberapa hari lalu yang tanah runtuh itu merupakan kemalangan di tapak kerja.
Pentadbiran merancang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasatnya.
Semalam, exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang juga telah diperintahkan membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan polis terhadap kejadian itu bagi menentukan sama ada kecuaian di tapak pembinaan menjadi punca sebenar. – 24 Oktober, 2017.
Komen