KUMPULAN Hindu di Malaysia bertegas tidak akan menerima penjelasan Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin berhubung puisi kontroversinya yang dikatakan mengkritik penganut Hindu kerana mendewakan lembu.
Mereka sebaliknya mendesak permohonan maaf daripadanya.
Presiden Hindu Sangam Malaysia R.S Mohan berkata penganut Hindu tidak peduli jika puisi Asri yang menyinggung perasaan mereka itu sudah dibuang daripada laman Facebook awal hari ini.
“Kami masih mahu dia mohon maaf,” kata Mohan kepada The Malaysian Insight.
“Puisi Asri itu mengarut dan menunjukkan yang mufti itu kurang pemahaman mengenai Hinduisme apabila berkata umat Islam dibunuh kerana makan lembu di India.
“Kenapa dia perlu bimbang mengenai India dan umat Islam di sana yang menyembelih lembu? Ada banyak lembu di India yang dibunuh oleh Muslim setiap hari.
“Jika ia berlaku di sana biar mereka (India) yang uruskan. Kenapa kita perlu komen mengenainya,” katanya.
Bagaimanapun, Asri mempertahankan puisinya berkata ia kritikan dibuat terhadap kerajaan Presiden India Narendra Modi, menambah yang puisi itu diputar belit kononnya merujuk kepada penganut Hindu di Malaysia.
Dalam posting terbarunya di Facebook, Asri berkata beberapa kumpulan bukan Islam tidak menghargai usaha Jabatan Mufti Perlis untuk melayan semua agama secara adil, memetik contoh isu pertukaran agama anak sebelah pihak dan pemberian zakat kepada golongan miskin bukan Islam di negeri itu.
Masyarakat Hindu dan banyak pengguna media sosial mengecam puisinya itu.
Asri dilaporkan berkata beliau akan menemui masyarakat India tidak lama lagi untuk menjelaskan mengenai puisi kontroversinya itu.
Mohan yang juga timbalan presiden kumpulan antara agama, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) berkata masyarakat Hindu tidak akan menerima penjelasannya, tetapi mahukan permohonan maaf daripada Asri.
“Kenapa bila dia dikritik, baru dia hendak memberi penjelasan? Sebagai seorang mufti, pemahamannya terhadap Islam tentu luas.
“Dia perlu belajar lebih lagi mengenai agama lain juga dan tidak sewenangnya bercakap tanpa mengetahui amalan dan kepercayaan kita.
“Kita tidak pernah mempertikaikan mengenai Islam. Jika hendak membuat perbandingan, banyak yang kami hendak cakap, tetapi kami tidak berbuat begitu.
“Kita semua berpendidikan dalam agama dan kepercayaan kita. Siapa dia hendak mempersoalkan kepercayaan kami?,” katanya.
Beliau berkata Hinduisme ialah satu cara hidup dan mereka bukan hanya menghormati lembu tetapi haiwan lain juga, menambah Hindu tidak menentang sesiapa yang menyembelih lembu.
“Kerajaan juga perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang bercakap mengenai agama lain di negara ini. Kita hidup secara harmoni, jadi kenapa perlu mufti membuat kenyataan seperti itu.”
Mohan berkumpulan kumpulan pemuda Hindu Sangam akan membuat laporan polis terhadap Asri hari ini. – 23 April, 2017.
Komen