Amanah persoalkan tujuan sebenar lawatan Najib ke AS


Yasmin Ramlan

Ketua Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah terkejut dengan kenyataan menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang mengatakan tiada sebarang perjanjian pelaburan dimeterai semasa kunjungan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

AMANAH mempersoalkan sama ada lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) pada September lalu hanya untuk mempromosikan dirinya atau atas tujuan pelaburan.

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata terkejut dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Insudstri, Mustapa Mohamed semalam yang mengatakan tiada sebarang perjanjian pelaburan dimeterai dalam lawatan ke White House itu.

“Adakah ia bermakna Najib hanya ingin mengambil hati Presiden (Donald) Trump atas sebab tertentu tanpa benar-benar berupaya membuat pelaburan? Adakah ini ada kaitan dengan siasatan DoJ (Jabatan Kehakiman AS) ke atas kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad)? Bukankah ini merosakkan nama baik Malaysia?

“Tawaran pelaburan Malaysia merupakan jenaka besar yang menyedihkan. Adakah ini juga menunjukkan pelawaan pelaburan Najib tidak laku kerana ‘berisiko tinggi’? ” Soalnya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, kenyataan Mustapa itu berbeza dengan kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan lawatan ke sana adalah bagi membantu ekonomi AS melalui pelaburan.

“Saya terkejut dengan kenyataan tersebut kerana saya mendengar sendiri video Najib menyatakan Malaysia ingin membantu ekonomi Amerika. Ini termasuk akan membuat pelaburan di Amerika berharga lebih daripada AS$4 bililon melalui KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Khazanah Nasional serta puluhan bilion lagi bagi membeli kapal terbang Boeing daripada Amerika,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen