DAP gesa Dzulkifli jelaskan sama ada beliau dalam video di Bali


Yasmin Ramlan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad perlu sedar bahawa imej agensi tidak boleh dikompromi sedemikian rupa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

DAP menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad menjelaskan sama ada individu di dalam skandal video klip di Bali itu adalah beliau.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo, Dzulkifli perlu membuat penjelasan terbuka sekiranya individu tersebut bukan dirinya demi menjaga nama baik sebagai seseorang yang menyandang jawatan tersebut dalam SPRM.

“Dzulkifli perlu menjelaskan perkara ini dan meredakan spekulasi yang sedang berlegar berhubung individu berkenaan dalam klip video tersebut. Jika itu bukan beliau, maka saya gesa beliau menafikannya secara terbuka.

“Ini adalah demi kebaikan agensinya sebagai seorang yang menyandang jawatan tersebut sama ada dalam SPRM, PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau agensi siasatan yang lain, perlu sedar bahawa imej agensi mereka tidak boleh dikompromi sedemikian rupa.

“Ini bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap agensi itu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Minggu lalu, dua rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Dzulkifli dan seoarang wanita berkahwin berpegangan tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali muncul, walaupun beliau menafikan video itu dan dakwaan kempen memburuk-burukkannya oleh pihak pembangkang atau sindiket perjudian.

Rakaman berdurasi 1 minit 40 saat yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube dengan pautan ke blog yang mengandungi catatan dengan dakwaan pemimpin atasan Umno cuba melindungi hubungan sulit ketua SPRM itu.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, gesaan itu dibuat kerana SPRM merupakan “creature of statute”.

Katanya, penjelasan itu perlu dilakukan oleh Dzulkifli kerana beliau perlu memberi contoh yang  baik dalam agensinya.

“Inilah sebab saya gesa Dzulkifli untuk bersuara. Adakah anda lelaki dalam video terbabit?” soalnya. – 24 Oktober, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen