MASYARAKAT Orang Asli di Pos Simpor, Kelantan kini cuba mencari pihak yang dapat membantu mereka selepas rayuan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) gagal berbuat demikian kerana kekurangan dana.
Sejak dua minggu lalu, 130 keluarga cuba mendapatkan bantuan daripada Jakoa selepas ladang dan tanaman mereka dimusnahkan gajah liar dan kini kampung mereka turut dilanda banjir.
Dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan, mereka turut berdepan kesukaran untuk ke bandar bagi mendapatkan bekalan berikutan keadaan jalan yang rosak dan berlumpur akibat hujan menyebabkan motosikal mereka sering terbenam dalam lumpur.
Aktivis Orang Asli Pos Simpor Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata, mereka tidak berminat untuk meminta bantuan daripada pihak luar namun mereka tiada pilihan.
“Kami sudah minta bantuan Jakoa tetapi mereka cakap kekurangan dana. Kini kami berharap ada pihak yang dapat membantu kami,” katanya dan menambah mereka hanya ada satu beg beras untuk teruskan hidup sehingga bantuan disalurkan.
Menurutnya, keluarga yang terjejas adalah daripada tiga kampung iaitu Kampung Jader, Kampung Penad dan Kampung Sedal.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Jakoa dan masih menunggu maklum balas pihak berkenaan.
Penduduk kampung juga berkata mereka kini berdepan masalah banjir yang menyukarkan mereka untuk ke pean berdekatan yang terletak kira-kira 5 kilometer untuk mendapatkan bekalan makanan.
Syafiq berkata, keadaan jalan untuk ke perkampungan mereka sangat teruk berikutan hujan lebat dan banjir.
“Pada Ahad kami tunggu pembeli getah untuk datang dan beli stok kami.
“Tapi dia tak datang kerana hujan dan jalan rosak teruk.”
Menurutnya, ada sesetengah penduduk kampung yang terkandas selama dua jam ketika dalam perjalanan balik ke kampung.
“Kami harap dapat jual getah untuk beli makanan. Tapi ia makin susah sebab keadaan jalan yang teruk.”
The Malaysian Insight sudahpun menghubungi Jakoa dan masih menunggu maklum balas.
Orang Asli di Gua Musang berusaha menghalang pembalak dan syarikat peladangan sejak beberapa tahun lalu dengan mengadakan sekatan yang kemudian dirobohkan oleh pihak berkuasa negeri.
Kerajaan Kelantan berkata, penebangan hutan dan kerja perladangan itu berlesen dan dijalankan secara sah, kerana tanah berkenaan milik kerajaan negeri memandangkan “tanah adat” tiada dalam perlembagaan negeri.
Menurut undang-undang Malaysia, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan dan lima syarikat swasta kerana menceroboh tanah Orang Asli.
Kerajaan Kelantan kini membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan. – 19 November, 2019.
Komen