Pemilihan parti gugat imej Amanah sebagai ahli Pakatan paling stabil


Sheridan Mahavera

Jabatan Pendaftar Pertubuhan mengarahkan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan Amanah diadakan semula ekoran masalah teknikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

TIDAK seperti parti politik lain dalam Pakatan Harapan (PH), tiada perpecahan berlaku dalam Amanah atau pemimpinnya saling menyerang secara terbuka.

Malah Amanah jarang menjadi mangsa serangan apabila berlaku pertelagahan antara parti komponen PH sama ada dari DAP, PKR dan Bersatu.

Hal ini membuatkan parti Islam itu mempunyai imej parti komponen PH paling stabil.

Namun kekecohan dan kekalahan beberapa pemimpin berprofil tinggi dalam pemilihan parti sejak dua bulan lalu bakal mengancam imej bersih itu, kata sumber parti dan pemerhati politik.

Kekalahan kalangan nama-nama besar yang bertanding jawatan bawahan memberi kejutan dan membangkitkan persoalan sama ada ahli biasa Amanah menentang pucuk pimpinan parti.

Antara kekalahan berprofil tinggi termasuk pemimpin yang berpangkat ahli majlis eksekutif negeri, speaker dan timbalan speaker negeri, pengarah agensi persekutuan.

Perkembangan itu mencetuskan keraguan tentang masa depan pucuk pimpinan atasan Amanah.

Lebih menambah kekecewaan ahli biasa parti itu, seluruh cawangan dan bahagian dibubarkan dan terpaksa mengadakan semula pemilihan parti.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan Amanah diadakan semula ekoran masalah teknikal.

Kekalahan kalangan nama-nama besar yang bertanding jawatan bawahan memberi kejutan dan membangkitkan persoalan sama ada ahli biasa Amanah menentang pucuk pimpinan parti.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

Sumber parti yang berpangkalan di Selangor berkata pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang diadakan semula pada Oktober dan November memberikan keputusan yang berbeza.

“Ada calon menang pada pusingan pertama tetapi kalah di pusingan kedua apabila pemilihan diadakan semula.

“Keputusan ini membangkitkan kemarahan setiap ahli cawangan tersebut,” kata sumber itu.

Antara pemimpin Amanah yang gagal mendapat jawatan di peringkat bahagian termasuk Zulkefly Mohamad Omar, Aminuddin Zulkapli, Siti Mariah Mahmud, Faiz Fadzil dan Mohammad Nizar Jamaluddin.

Zulkefly merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan manakala Aminuddin adalah Timbalan Speaker Dun Perak.

Siti Mariah adalah exco Selangor manakala Faiz mengetuai Lembaga Pembangunan Perikanan dan Nizar adalah bekas Menteri Besar Perak.

Lima individu itu antara nama besar dalam parti dan penyumbang besar semasa kempen PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Penolakan pemimpin ini menunjukkan kekecewaan akar umbi terhadap peranan aktif mereka membina parti,” kata satu sumber yang rapat dengan pucuk pimpinan Amanah.

“Ini adalah laluan berliku Amanah ketika parti itu cuba mengimbangi antara usaha meluaskan pengaruhnya dan menjalankan tanggungjawab dalam kerajaan.” – 18 November, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen