Sabotaj dalaman punca kekalahan Pakatan, kata Mat Hasan


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Presiden Umno berkata kekalahan Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai adalah disebabkan sabotaj dalaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 November, 2019.

SELAIN dari gagal melaksanakan janji pilihan raya, kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Tanjung Piai semalam juga disebabkan sabotaj dalaman, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad berkata ini terbukti dari kontroversi yang melanda PH sepanjang PRK itu seperti klip video kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu terhadap DAP.

Dalam PRK itu terdapat juga perselisihan antara DAP dan Bersatu berhubung kenyataan DUN Sg Pelek Ronnie Liu terhadap Bersatu dan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri dan Presiden PH.

“Mereka kalah kerana sabotaj, kawan-kawan dalam PH sabotaj Bersatu, mereka mahu Bersatu kalah,” katanya mendakwa DAP, PKR dan Amanah mahu Bersatu dalam PRK itu.

Calon Bersatu Karmaine Sardini mewakili PH di Tanjung Piai dalam pertembungan enam penjuru. Beliau kalah kepada Wee Jeck Seng dari MCA dengan margin 15,000 undi.

Mohamad bercakap pada majlis penutupan kursus untuk Skuad Sabil Pemuda Umno yang merupakan kumpulan sukarelawan berpakaian seragam.

Beliau memberitahu Pemuda agar tidak terbawa-bawa dengan kemenangan BN di Tanjug Piai dan bersiap sedia untuk berdepan “pertempuran seterusnya” sama ada dalam PRK atau PRU yang akan diadakan pada 2023.

“Dalam pertandingan kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Itu sebahagian dari perjuangan.

“Semalam (Tanjung Piai) adalah kemenangan besar bagi kita tetapi kita mesti kekal tenang dan memacu momentum,” katanya.

Beliau juga menggesa Pemuda untuk tidak terlibat dalam pergaduhan dalaman PH.

“Jika mereka mahu bergaduh sesame mereka, biarlah. Kita jangan masuk campur. Kita mesti siap sediakan diri kita sendiri,” katanya.

Dalam proses pengundian PH terpaksa berdepan dengan kenyataan Ahmad Faizal dan Liu yang merupakan insiden berasingan tetapi mendatangkan ketegangan di antara kedua-dua parti berkenaan.

Liu telah mengkritik kepimpinan Dr Mahathir dan mendakwa PH Masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Ahmad Faizal memberitahu penduduk di Tanjung Piai bahawa beliau sedang berperang melawan DAP di Perak sebagai Menteri Besar untuk mempertahankan tanah Melayu dan Islam.

Setiap kes dibawa ke kepimpinan masing-masing dan tiada tindakan selanjutnya diambil. – 17 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen