KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menunjukkan bahawa walaupun pengundi menolak Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lalu, namun kini mereka mula tidak menyukai Pakatan Harapan, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini.
Beliau berkata kemenangan BN di kerusi Parlimen Johor malam tadi dengan margin yang tidak dijangka sebanyak 15,000 undi adalah bukti bahawa orang ramai kini bosan dengan janji kosong PH.
“Secara jujur, kemenangan malam tadi tidak bermakna rakyat suka BN.
“Kami menjangkakan untuk menang dengan 5,000 majoriti, tetapi 15,000 menunjukkan sesuatu yang tidak betul. Ia menunjukkan rakyat kini benci PH kerana mereka tidak dapat menunaikan janji-janji mereka,” kata Mohamad pada acara Pemuda Umno di Janda Baik, Pahang.
Beliau memberi ucapan penutup pada program latihan Skuad Sabil Pemuda Umno. Skuad ini adalah badan sukarelawan seragam untuk mengendalikan aktiviti keselamatan dan amal parti.
Dalam pilihan raya kecil semalam, BN berjaya menawan semula kerusi itu selepas dikalahkan kali pertama dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Calonnya, Wee Jeck Seng dari MCA memperolehi 25,466 undi berbanding 10,380 undi yang diperoleh oleh calon PH, Karmaine Sardini. Jumlah pengundi yang keluar membuang undi adalah kira-kira 74%, dan tinjauan menyaksikan kebanyakan pengundi Cina yang menyokong PH dalam PRU14 mengembalikan sokongan mereka kepada gabungan itu pada PRK kali ini.
Mohamad, yang juga wakil rakyat Rantau, berkata PH mempunyai “masalah integriti” selepas gagal menunaikan janji pilihan raya.
“Mereka kini menghadapi masalah integriti dan mereka tidak dapat menyelesaikan masalah itu.
“Inilah yang berlaku kepada parti yang menimbulkan fitnah dan janji kosong,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dasuki.
Skuad Sabil, yang dilihat mendapat acuannya daripada sukarelawan Unit Amal PAS, adalah untuk membantu kempen Umno pada pilihan raya umum akan datang bagi mengalahkan PH, katanya. – 17 November, 2019.
Komen