Daulat, filem realiti dunia gelap politik


Mastura Malak

PERMAINAN politik yang penuh muslihat, yang menentukan siapa naik dan siapa turun walau dengan apa cara sekali pun, menjadi tema besar sebuah filem yang sedang disiapkan dan dijangka menemui penonton pertengahan tahun depan.

Filem Daulat yang kini dalam proses suntingan menampilkan Vanidah Imran sebagai watak utama. Vanidah berlakon sebagai seorang pemimpin parti politik yang kalah pilihan raya dan sedang menyusun plot untuk bangkit semula.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, pengarah Imran Sheik berkata beliau mahu mengupas keadaan sebenar dunia politik yang perlu diketahui umum.

“Filem ini mempamerkan ahli politik dari sudut realistik dan tidak terlalu positif,” kata Imran kepada The Malaysian Insight.

“Semua pemimpin manusia biasa. Rakyat tidak perlu bertuhankan pemimpin. Kita tak boleh terlalu taasub,” katanya.

“Kita juga perlu tahu bahawa ada sesetengah pemimpin politik yang suka memanipulasi, baik sesama ahli politik ataupun rakyat.

“Rakyat kena tahu itu,” tambahnya.

Beliau menjelaskan dengan mengangkat sisi gelap dunia politik, masyarakat akan secara tidak langsung akan melihat dunia murni politik yang sewajarnya.

Bagaimanapun Imran cepat menegaskan filemnya tiada kena mengena dengan keadaan politik semasa Malaysia sejak pilihan raya umum bersejarah pada Mei 2018.

“Cerita dan watak dalam filem ini hanya fiksyen semata-mata. Saya mendapat inspirasi daripada senario politik tetapi telah ditukar untuk hiburan fiksyen. 

“Ia tiada kaitan dengan mana-mana ahli politik di Malaysia ini. Jika ada ia hanya kebetulan,” katanya.

Daulat mengisahkan tentang presiden Parti Muna yang kalah pilihan raya, Hassan (dilakonkan Tony Eusoff) mengangkat Suri (Vanidah) sebagai timbalannya. Matlamat mereka menang pilihan raya yang akan datang.

Untuk tujuan itu, Suri menggunakan suaminya Idrus (Rashidi Ishak), pemilik sebuah media untuk menyebarkan propaganda yang memihak kepada Parti Muna.

Filem ini menampilkan dialog antara lain yang berbunyi: “Langkah pertama kita untuk dapatkan balik takhta, kita kena kukuhkan tapak.

Daulat turut menampilkan Jasmine Suraya, Cristina Suzanne, Sangeeta Krishnasamy, Jalaluddin Hassan, dan Zul Zamir.

Filem Daulat yang bakal ditayangkan pertengahan 2020 mengangkat sisi gelap dunia politik. – Gambar Imrah Sheik, 17 November, 2019.

Politik ala Machiavelli

Sejak menjalani penggambaran sekitar Julai lalu, poster awal Daulat tersebar di media sosial. Poster itu menampilkan Vanidah dalam skema warna dan gaya tubuh yang saling tidak tumpah seperti potret diplomat Itali, Niccolo Machiavelli, tokoh abad 15 yang sering dirujuk sebagai pengasas ilmu politik.

Buku Machiavelli yang terkenal The Prince pernah diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Sang Penguasa.

“Vanidah memegang watak Suri, pemimpin politik yang mahu memastikan partinya menang pilihan raya akan datang dengan apa cara sekali pun,” kata Imran.

Imran menggambarkan Suri sebagai ahli politik yang licik, dan penuh tipu daya.

“Suri seorang wanita yang tegas. Hatinya keras kerana pengalaman dibesarkan dalam keluarga yang diperalatkan oleh orang lain,” katanya.

Imran membangunkan watak-watak dalam Daulat daripada pengalaman peribadi dan ahli keluarganya sendiri.

“Ahli keluarga saya ada yang terjejas oleh segelintir pihak kerana mereka sangat baik.”

“Dalam kata lain, dalam realiti dunia ini, kita tidak boleh terlampau baik, nanti orang akan ambil kesempatan,” katanya, yang juga usahawan yang boleh dianggap berjaya dalam lapangan fesyen dan makanan.

Ditanya mengenai pemilihan tajuk Daulat, Imran berkata judul filem itu merujuk pada kedudukan yang paling atas dalam politik dan kuasa.

“Cerita ini tentang permainan ahli politik yang ingin berada pada kedudukan paling atas. Ini tema yang jelas dalam filem ini. Apabila mereka di atas, maka daulat untuk mereka,” katanya.

Selain untuk mengingatkan masyarakat tentang realiti politik dan ahli politik, Imran menghasilkan Daulat juga kerana siri televisyen dengan tema politik seperti House of Cards di Netflix popular di Malaysia.

“Ini menunjukkan penonton amat suka dan ingin tahu sudut gelap politik. Setakat ini, tiada siapa berani untuk mencuba genre ini di Malaysia. Saya ingin menjadi yang pertama,” katanya.

Imran, lulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebelum ini mencipta Jibril, sebuah drama televisyen bersiri mengenai dunia peguam dan perundangan, yang ditayangkan di ntv7 dan viu.

Daulat adalah filem arahan sulungnya.

Imran mengaku tidak yakin filem seperti Daulat boleh dibuat di Malaysia tanpa perubahan politik dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu (PRU14).

“Sekiranya filem ini dibuat sebelum PRU14, saya rasa sukar kerana tahap kebebasan… freedom of speech pada ketika itu terbatas dan sukar untuk bersuara. 

“Tetapi berbeza sekarang… telah banyak perubahan,” katanya. – 17 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen