Isyarat rakyat mahu BN semula, kata Zahid


SM Amin

BN merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai apabila calonnya Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi, lebih besar daripada yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2019.

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai isyarat jelas rakyat kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mahu BN kembali menerajui Putrajaya, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Ia adalah satu signal yang begitu jelas bahawa rakyat memperlihatkan protesnya kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

 “Kita merasakan ini satu referandum kecil ke arah usaha Barisan Nasional dan Muafakat Nasional untuk menuju ke Putrajaya,” katanya dalam sidang media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan pilihan raya kecil Tanjung Piai, malam tadi.

Ditanya apakah kemenangan besar BN itu petanda Dr Mahathir Mohamad perlu letak jawatan sebagai perdana menteri, Zahid berkata itu terserah kepada rakyat.

“Saya tidak mahu campur dalam soal itu tetapi jika itu perasaan rakyat, silalah lakukan dengan segera. Jika itu perasaan rakyat,” katanya.

BN merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai apabila calonnya Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,086 undi, lebih besar daripada yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Wee adalah wakil rakyat kawasan itu pada 2008 dan 2013. Beliau kalah kepada calon PH Dr Md Farid Md Rafiq pada PRU14 setahun setengah yang lalu.

Kejayaan tersebut kata Zahid juga membuktikan bahawa kerjasama Muafakat Nasional dan Barisan Nasional dalam satu pakatan telah membuahkan hasil seperti yang dikehendaki oleh rakyat.

“Kerjasama Muafakat Nasional dengan rakan-rakan yang ada dalam parti-parti Barisan Nasional serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak telah menjadi mercu tanda bahawa komitmen semua pihak akan memberikan kejayaan.

“Majoriti 15,086 undi adalah merupakan kejayaan di luar jangkaan. Ertinya rakyat kembali untuk bersama-sama dengan Barisan Nasional,” ujarnya.

Semasa kempen di Tanjung Piai, bekas presiden Umno Najib Razak berkata kemenangan pembangkang akan menjadi langkah awal untuk mereka kembali ke Putrajaya.

“Kita hendak balik ke zaman Barisan Nasional. Kita sudah bermula di Cameron Highlands, turun ke Semenyih dan Rantau. 

“Angin yang sama akan sampai ke hujung benua Asia Tanjung Piai,” katanya, dalam ceramah akhir pada Jumaat malam. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen