Pakatan perlu teliti semula dasar dan pendekatan, kata Muhyiddin


PH Johor menerima keputusan itu sebagai satu mesej yang perlu didengar oleh parti secara serius, kata Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) perlu meneliti semula beberapa perkara selepas kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kata Pengerusi PH Johor Bersatu Muhyiddin Yassin.

“PH Johor menerima keputusan itu sebagai satu mesej yang perlu didengar oleh parti secara serius.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula ke paparan lakaran, untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan, yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang lain, malam ini.

Turut sama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Senator Liew Chin Tong dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti yang bertungkus-lumus dan menunjukkan komitmen pada PRK itu.

PH mengalami kekalahan paling teruk dalam sembilan PRK sebelum ini selepas kehilangan kerusi Tanjung Piai kepada BN.

Calon BN Wee Jeck Seng menang dnegan majoriti besar 15,086 undi.

Beliau meraih 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam mendapat 1,707 manakala calon Berjasa Badrulhisham Abduk Aziz meraih 850 undi.

Dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, masing-masing memperoleh 380 dan 32 undi. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen